BATU GAJAH – Tiga syarikat berkaitan industri maritim dari Belgium dijangka akan mengadakan lawatan di tapak projek Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) pada bulan hadapan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, syarikat-syarikat berkenaan adalah Belgian Scrap Terminal (BST) yang mengendalikan pemisahan bahan kitar semula, serta Soenen Group Green Vessel Recycling terlibat dalam pelupusan kapal secara lestari.
Katanya, selain itu sebuah lagi syarikat iaitu Steinberg Logistics International yang menyediakan perkhidmatan logistik bersepadu juga menyatakan hasrat yang sama.
Menurut beliau, lawatan wakil dari tiga syarikat berkenaan adalah susulan kejayaan kerajaan negeri menarik menarik pelaburan baharu berjumlah RM450 juta hasil lawatan rasmi ke Belgium, Perancis dan United Kingdom pada awal Mei lalu.
“Kita telah menawarkan LuMIC kepada tiga pelabur baru (dari Belgium) dan mereka telah menyatakan minat untuk melabur di Perak.
“Wakil dari tiga syarikat berkenaan dijadual akan mengadakan lawatan tapak ke LuMIC pada Jun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Siri Ketiga 2025 di Dewan Bandaran Kinta, dekat sini, pada Isnin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Pada masa sama Saarani berkata, susulan lawatan di Perancis, Perak turut menawarkan syarikat Saint-Gobain di Taman Perindustrian Kanthan, Chemor untuk melebarkan perindustrian di Silver Valley Technology Park (SVTP).
Kata beliau, kerajaan negeri bersama InvestPerak dan majlis daerah telah bersetuju untuk membantu syarikat Lhoist Group dari Belgium bagi membesarkan operasi ‘quicklime’ dan ‘hydrated lime’ mereka di Ayer Kuning, Tapah.
“Kita bersedia untuk memberikan ‘fast lane’ atau laluan pantas kepada syarikat-syarikat ini untuk melabur di Perak. Malah kita akan mempermudahkan urusan mereka ini agar terus berminat untuk ke sini
“Ia termasuk bagi pembangunan projek Pusat Pengujian Automotif Kebangsaan (NATC) di Sungkai. Walau bagaimanapun ia melibatkan tanah Kerajaan Persekutuan, dan kita masih mengadakan perbincangan untuk projek itu segera dilaksanakan,” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan misi pelaburan Perak ke tiga negara Eropah baru-baru ini telah berjaya menarik nilai pelaburan berjumlah RM450 juta.
Lawatan dari 9 hingga 18 Mei lalu berjaya memperkukuh rangkaian kerjasama antarabangsa serta merangsang kemasukan pelaburan berimpak tinggi ke Perak. – MG Perak
Artikel Berkaitan: