KUALA LUMPUR – Tiga syarikat telekomunikasi (telco) komited untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tanpa berkompromi terhadap privasi dan perlindungan data pelanggan masing-masing.
Dalam kenyataan berasingan tiga telco tersebut – CelcomDigi, Telekom Malaysia (TM), dan U Mobile sepakat butiran Data Telefon Bimbit (MPD) yang diserahkan kepada SKMM tidak mengandungi maklumat peribadi pelanggan yang boleh dikenal pasti.
“Kami mengambil maklum perbincangan yang sedang berlangsung dan pertanyaan awam mengenai inisiatif Data Telefon Bimbit oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“CelcomDigi terus bekerjasama rapat dengan SKMM untuk menyokong inisiatif kerajaan tanpa menjejaskan integriti data pelanggan.
“Kami telah mengadakan perbincangan secara langsung dengan Suruhanjaya serta sebagai sebahagian daripada perbincangan industri yang lebih luas bagi memastikan tadbir urus yang kukuh dalam analisis data peribadi pelanggan.
“Kami akan terus memastikan proses dan kawalan yang mencukupi sentiasa dilaksanakan,” kata CelcomDigi dalam kenyataannya hari ini.
Telco itu berkata, mereka akan memproses data yang diminta dalam persekitaran selamat tersendiri dan menyediakan sampel terhad pada medan yang berkaitan yang terdiri daripada output tanpa identiti dan terkumpul kepada suruhanjaya berkenaan.
Pada setiap masa, CelcomDigi memberi jaminan akan beroperasi di bawah protokol keselamatan yang ketat dan mematuhi undang-undang serta peraturan perlindungan data yang berkaitan, dengan had yang ketat terhadap sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti.
TM pula berkata, pengemukaan data tersebut dilaksanakan di bawah tadbir urus dan protokol keselamatan yang ketat dengan pematuhan sepenuhnya terhadap dasar syarikat yang berkaitan serta undang-undang dan peraturan kawal selia negara.
“TM kekal komited dalam memastikan keselamatan dan privasi data pelanggan terus terpelihara dengan penuh tanggungjawab dan integriti,” katanya lagi.
U Mobile pula berkata, mereka sedar objektif inisiatif tersebut dan komited untuk terus bekerjasama dengan SKMM dengan memastikan standard tertinggi dalam tadbir urus data pelanggan.
“U Mobile telah menetapkan polisi dan proses bagi memastikan sebarang data yang dikongsi adalah dianonimkan sepenuhnya, diagregatkan dan dikendalikan mengikut undang-undang serta peraturan perlindungan data yang berkuat kuasa
.
“Apabila kami berkongsi MPD dengan SKMM, segala maklumat peribadi pelanggan yang boleh dikenal pasti (Personally Identifiable Information atau PII) tidak akan dikongsi atau diproses pada bila-bila masa,” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberi jaminan syarikat telekomunikasi (telco) tidak akan memberikan sebarang maklumat yang memiliki data peribadi individu kepada mana-mana pihak.
Sebelum ini, SKMM mempertahankan arahannya yang mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit dibuat dari Januari hingga Mac.
Suruhanjaya itu berkata tiada maklumat peribadi yang akan diakses, diproses atau didedahkan oleh SKMM. – MalaysiaGazette