Tiga warga Myanmar mengaku bersalah ceroboh hutan simpan, melombong NR-REE

KUALA KANGSAR – Tiga lelaki pendatang tanpa izin (PATI) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Bintang Hijau di Hulu Perak dan melakukan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) Disember tahun lalu.

Tertuduh, Ng Mg Win, 28; Ng Win Khin, 36; dan Kyaw Kyaw Sab @ Kyaw Kyaw San, 39, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa dalam bahasa Myanmar di hadapan Hakim, Rohaida Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga lelaki warga Myanmar itu didakwa telah memasuki hutan simpan kekal tersebut tanpa permit memasuki hutan simpan kekal yang sah.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Kompartmen 64 & 58 Hutan Simpan Bintang Hijau dalam daerah Hulu Perak jam 3.30 petang, 8 Disember 2023 dan 9 pagi, 9 Disember 2023.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 47(1)(c) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (pemakaian) 1985 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 47(4) enakmen yang sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Rohaida, kemudiannya menjatuhkan setiap tertuduh hukuman penjara setahun bermula dari tarikh tangkap.

Sementara itu,pada prosiding sama, Mg Win dan Win Khin turut mengaku bersalah menjalankan aktiviti melombong mineral tanpa permit bersama sembilan warga tempatan yang lain di lokasi sama pada 8 Disember 2023 jam 3.30 petang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 32(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (pemakaian) 1985 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) enakmen sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudiannya menetapkan kedua-dua lelaki terbabit dikenakan hukuman penjara dua tahun dari tarikh tangkap.

Pada 13 Disember tahun lalu, media melaporkan seramai 31 individu termasuk 21 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti penerokaan bahan mentah NR-REE secara haram di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak.

Warga asing yang ditahan berusia antara 23 hingga 69 tahun terdiri daripada 16 lelaki warganegara China, tiga lelaki dan satu wanita Myanmar serta seorang wanita warga Vietnam. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ceroboh kawasan lombong NR-REE: 31 individu ditahan, termasuk empat Orang Asli

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI