KUALA LUMPUR – Timor-Leste hari ini secara rasmi menyerahkan instrumen penyertaannya ke atas Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia menandakan kemasukan penuh Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, serta perluasan lingkungan ASEAN yang kini merangkumi setiap negara berdaulat di rantau ini.
Menurut beliau, Piagam ASEAN bukan sekadar sebuah dokumen asas, sebaliknya merupakan nadi kepada visi bersama negara-negara anggota.
“Dengan menyertai Piagam ASEAN ini, Timor-Leste berikrar untuk melangkah seiring dengan kita, menjalin aspirasi rakyatnya ke dalam jalinan komuniti ASEAN yang terus berkembang,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan instrumen penyertaan itu sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini, hari ini.
Menurut Mohamad, melalui Perjanjian SEANWFZ, Timor-Leste turut bersama-sama ASEAN dalam komitmen memastikan Asia Tenggara kekal sebagai wilayah aman dan bebas daripada ancaman senjata nuklear.
Katanya, ia sekali gus membuktikan tekad berterusan ASEAN untuk mengekalkan rantau itu sebagai zon keamanan, kestabilan dan keselamatan bersama.
“Penyertaan ini bukan sekadar formaliti institusi, tetapi mencerminkan kepercayaan mendalam Timor-Leste terhadap idealisme ASEAN, serta keyakinan terhadap masa depan kolektif bersama, iaitu masa depan yang berteraskan keharmonian, kerjasama dan saling menghormati,” katanya.
Timor-Leste yang mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002 memohon untuk menjadi negara anggota ASEAN pada 2011.
Pada Februari lalu, Malaysia mengumumkan sumbangan sebanyak US$200,000 kepada Unit Timor-Leste di Sekretariat ASEAN di Jakarta bagi mempercepat proses keahllian penuh negara berkenaan.
Selain itu, sumbangan tersebut bertujuan menyediakan latihan teknikal menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MCTP), yang telah melatih seramai 319 pegawai Timor-Leste dalam pelbagai bidang setakat ini. – MalaysiaGazette


