Tindakan bendung salah laku pegawai JIM bukan bermusim

NIBONG TEBAL – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedia memberikan kerjasama penuh dengan Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) untuk menukar pegawai bermasalah serta yang dikenal pasti terlibat dalam salah laku.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, perbincangan akan dibuat dengan AKPS sekiranya terdapat keperluan untuk melakukan rombakan terhadap pegawai yang bermasalah.

“JIM telah menyerahkan sepenuhnya pengurusan di 22 pintu masuk utama negara kepada AKPS termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor, lapangan terbang di Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Cuma pegawai kita masih lagi menjadi pegawai yang menguruskan operasi harian di lapangan terbang berkenaan. Jadi urusan berkaitan ‘counter setting’ dan sebagainya ini memang sudah menjadi tanggungjawab AKPS.

“Bagaimanapun, untuk rombakan kita akan berbincang dengan AKPS sekiranya ada keperluan untuk kita keluarkan pegawai-pegawai yang bermasalah atau dikenal pasti melakukan salah laku dan sebagainya, kita akan bagi kerjasama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada JIM akan melakukan rombakan pegawainya yang bertugas di lapangan terbang susulan penahanan beberapa pegawai yang dipercayai terlibat dalam aktiviti ‘counter setting’ baru-baru ini.

Tambahnya, JIM membantu AKPS dari aspek risikan, pemantauan dan hasil kejayaan operasi baru-baru ini juga bukti keberkesanan kerjasama antara dua agensi tersebut.

“Kalau kita lihat dari segi apa yang berlaku pada dua minggu lepas, memang itu antara hasil kerjasama kita dengan pihak AKPS, bukannya kata secara totalnya daripada AKPS,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan tindakan terhadap pegawai bermasalah bukan hanya dilakukan secara bermusim atau susulan isu tular, sebaliknya dilaksanakan secara berterusan.

“Kalau ikutkan bagi tempoh 2022 sehingga terkini, kita ambil tindakan tatatertib ke atas 147 individu dan 55 daripadanya telah diambil tindakan buang kerja.

“Ini menunjukkan bahawa pemantauan dan tindakan kita berterusan, bukannya kata sekarang sahaja baru ada tindakan.

“Malah, dalam usaha membendung isu seperti ‘counter setting’, seperti yang dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen bahawa JIM sedang memperluaskan penggunaan sistem automatik di pintu masuk negara bagi mengurangkan interaksi antara pegawai dan pengembara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI