Tindakan Kor Ming ugut wartawan tidak wajar – Faizal Azumu

IPOH – Perikatan Nasional (PN) Perak menyifatkan tindakan Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming yang didakwa berang terhadap wartawan bertanyakan soalan tentang penggunaan Bahasa Melayu baru-baru ini sebagai tidak wajar.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan seakan-akan mengungut atau memperlekehkan wartawan itu sebagai menggambarkan sikap angkuh seorang menteri yang sepatutnya menjadi contoh dalam menghormati kebebasan media serta martabat bahasa Kebangsaan.

Katanya, sebagai seorang Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kor Ming tidak sepatutnya merasa tercabar apabila diminta menjelaskan dasar atau amalan kementerian di bawah tanggungjawabnya.

“Soalan yang diajukan oleh wartawan itu adalah relevan serta selaras dengan semangat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

“Sewajarnya setiap anggota Kabinet menunjukkan contoh teladan yang baik dalam menghormati media serta menjunjung kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara,” katanya menerusi hantaran pada laman Facebook, pada Jumaat.

Ahmad Faizal yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, kebebasan media seharusnya bukan untuk disekat malah turut menegaskan bahawa wartawan bukan musuh.

“Mereka (wartawan) menjalankan tugas untuk memastikan kerajaan terus dipertanggungjawabkan kepada rakyat,” ujar beliau lagi.

Baru-baru ini media melaporkan Kor Ming didakwa berang dengan soalan daripada seorang wartawan yang bertanyakan mengapa tema projek pencahayaan bandar ‘I Lite U’ di Kuala Lumpur dalam bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan.

Ketika sidang media berkenan, beliau pada awalnya menjelaskan ia merupakan acara pelancongan, oleh itu penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.

Namun Ahli Parlimen Teluk Intan itu kemudian menyoal wartawan berkenaan tentang tempatnya bekerja sebelum pemberita itu memberitahu dia dari Utusan Malaysia.

Kor Ming kemudian berkata beliau akan menghubungi ketua pengarang akhbar berkenaan berhubung soalan yang diajukan itu.

Perkara itu mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk Gerakan Media Merdeka (GERAMM) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM). – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Dulu berguling-guling tuntut kebebasan media, sekarang menekan suara wartawan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI