KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar melahirkan rasa kesal dengan sikap sesetengah pemimpin politik yang sengaja mencetuskan polemik terhadap konsep dan pendekatan Madani yang menjadi gagasan negara hari ini.
Menurutnya, tindakan melabelkan pendekatan Madani sebagai Madani Jahiliah dan seumpamanya adalah amat keterlaluan dan mendukacitakan.
Sedangkan hakikatnya, tambah beliau, konsep Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu gagasan murni untuk mengangkat semula martabat negara.
“Konsep Madani telah diterima secara menyeluruh oleh sarjana Islam sebagai bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.
“Konsep Madani juga menekankan pendekatan pembangunan negara yang bersifat syumul, holistik dan komprehensif dari aspek rohani dan jasmani,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Mohd Na’im mengingatkan umat Islam supaya berwaspada dengan usaha mana-mana pihak yang sengaja menimbulkan polemik pemikiran keagamaan bagi meraih kepentingan tertentu.
“Sempena lembaran baharu tahun 2025, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru semua pihak agar memperkukuh perpaduan untuk membangunkan negara demi kepentingan rakyat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menganggap ketidakhadiran Anwar di Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) di Kaherah, Mesir menunjukkan perjuangannya yang membawa slogan Madani adalah bukan Madani Islam yang sebenar.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, perjuangan Anwar bergantung kepada Madani Jahiliah seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan BlackRock. – MalaysiaGazette