IPOH – Pemuda Amanah Perak menyifatkan tindakan Pas merehatkan Razman Zakaria daripada tugas Pesuruhjaya PAS Perak sebagai titik permulaan membersihkan imej Islam yang tercemar.
Ketuanya, Khairol Najib Hashim berkata, tindakan Razman yang memfitnah beberapa individu sebelum ini mengakibatkan imej Islam islam telah tercemar.
“Pemuda Amanah Negeri Perak memandang tindakan PAS merehatkan Razman daripada tugas Pesuruhjaya PAS Perak sebagai satu kejayaan buat rakyat negeri ini.
“Tindakan itu merupakan langkah pembersihan yang sudah lama dinantikan rakyat negeri ini yang sudah muak dengan politik fitnah yang kian menjadi-jadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, sudah sekian lama PAS mendakwa menjadi parti yang memperjuangkan Islam, namun dalam masa yang sama membenarkan pemimpinnya berulang kali memfitnah orang lain tanpa rasa bersalah.
“Kita perlu ingat, dalam tempoh yang singkat, beliau telah memfitnah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, dan terbaru Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
“Tingkah laku Razman yang sering memfitnah dan mencetuskan kontroversi bukanlah mencerminkan budaya dan akhlak sebenar rakyat Perak,” katanya.
Beliau turut menasihati Razman agar bermuhasabah diri dengan tindakan yang dikenakan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol itu terutamanya menjelang kedatangan Ramadan.
Katanya lagi, rakyat Perak menyambut baik tindakan ini kerana ia menunjukkan bahawa suara mereka didengar.
“Mereka mahukan pemimpin yang berintegriti dan berakhlak mulia, bukan yang mengamalkan politik kotor.
“Seharusnya, apa yang berlaku ini menjadi pengajaran kepada semua ahli politik bahawa fitnah tidak akan membawa kejayaan yang berkekalan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Razman telah direhatkan daripada tugas sebagai Pesuruhjaya Pas Perak namun sumber terdekat Pas negeri memaklumkan setakat ini, tiada sebarang makluman rasmi diterima berhubung perkara itu. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemuda AMANAH Perak gesa PM pertimbang semula portfolio Tiong King Sing