Pengamal perubatan palsu warga asing akan dikenakan tindakan

IPOH – Pengamal perubatan palsu dipercayai warga asing yang menjalankan operasi tanpa lesen serta tidak bertauliah di negara ini akan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pihaknya memandang serius berhubung perkara tersebut kerana ia melibatkan keselamatan umum.

Beliau turut, mengingatkan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati dan cakna dalam memilih pusat rawatan sama ada ia beroperasi secara sah berlesen atau secara haram.

“Mereka tidak boleh membuka perkhidmatan di sini oleh kerana segala klinik fasiliti swasta perlu melalui Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).

“Jika kita dapati pusat rawatan tersebut beroperasi haram dan kita menerima laporan, sudah pasti penguatkuasaan akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kongres ASEAN ke-13 dan Kongres Kesihatan Perak ke-10 di Hotel Kinta Riverfront di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha dan Pengarah Program, Dr G Nantha Kumar.

Dalam perkembangan berkaitan, Lukanisman memaklumkan bahawa beliau akan membawa perkara tersebut ke mesyuarat pasca Kabinet dalam masa terdekat.

“Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat pasca Kabinet supaya agensi atau unit yang bertanggungjawab akan digerakkan untuk menyiasat hal tersebut.

“Sehubungan itu, tindakan undang-undang akan dikenakan kerana aktiviti tersebut dijalankan secara haram,” ujarnya.

Selasa lalu, Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan kewujudan sebuah klinik kosmetik yang dikendalikan doktor palsu di Mont Kiara.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa yang mendakwa menjalani pembedahan payudara oleh seorang doktor dari China yang tidak mempunyai lesen sah. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Insiden sesak nafas Menteri Pengangkutan tiada kaitan serangan jantung

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI