PARIT – Kerajaan Negeri Perak meminta semua pihak pentadbir sekolah mempertingkatkan pemantauan kepada pelajar asrama bagi mengelakkan insiden pergaduhan sehingga seorang pelajar cedera ditikam, baru-baru ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, sekolah juga diminta untuk lebih mendekati para pelajar bagi mengenal pasti sebarang permasalahan yang timbul dalam kalangan mereka.
Katanya, langkah itu juga dilihat mampu meningkatkan lagi tahap keselamatan sekolah dan disiplin para pelajar khususnya di sekolah berasrama.
“Kita mengharapkan agar Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan juga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memastikan bahawa warden asrama yang diberi amanah tanggungjawab bertugas pada masa yang ditetapkan.
“Di samping itu juga, mungkin dua badan itu perlu mewujudkan inisiatif secara berkala seperti program pemantauan atau turun padang melihat sendiri masalah dalam kalangan pelajar.
“Mungkin melalui usaha-usaha ini, boleh dilakukan penambahbaikkan supaya isu seperti yang berlaku di sebuah sekolah di Ipoh itu tidak akan berulang pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sumbangan Aidiladha Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja di Kampung Sungai Perah, dekat sini, pada Jumaat.
Pada program berkenaan, Khairudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja menyampaikan sumbangan berupa makanan asas serta sumbangan tunai kepada 24 penerima yang beragama Islam sebagai persediaan menyambut Aidiladha Isnin depan.
Pada Rabu media melaporkan seorang pelajar ditahan polis kerana disyaki menikam rakan persekolahan dengan pisau dalam pergaduhan di sebuah asrama sekolah di Ipoh.
Mangsa dilaporkan telah ditikam pada bahagian dada, belakang badan termasuk paha menggunakan dua bilah pisau dan pelajar berusia 17 tahun itu kini mendapat rawatan di sebuah hospital swasta.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas cadangan jawatan warden asrama perlu dilantik dalam kalangan bukan guru, Khairudin memberitahu, ia mempunyai kelebihan dan kekurangan.
Bagaimanapun, beliau yakin Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia melakukan kajian berhubung cadangan itu dalaman memastikan agenda kemenjadian murid direalisasikan.
“Namun, buat masa kini, kita difahamkan semua warden asrama adalah dalam kalangan guru.
“Ini kerana, mereka memang telah diberi pendedahan khusus berkaitan dengan aspek pengurusan pelajar yang memerlukan nilai kesabaran, dan keprihatinan yang cukup baik.
“Ia supaya kita tidak mahu kejadian-kejadian ni yang tidak diingini berlaku lagi khususnya di dalam asrama itu sendiri,” ujarnya lagi. – MG PERAK
Artikel Berkaitan: