KUALA LUMPUR – Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konvensyen PKR membuktikan wujud Titah Adendum Yang diPertuan Aging ke-16 berkaitan hukuman yang sedang dijalani oleh Datuk Seri Najib Razak di Penjara Kajang ketika ini.
Peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ucapan itu menjadi bahan bukti yang perlu dimasukkan dalam afidavit permohonan bekas Perdana Menteri tersebut sebelum ia dimaklumkan kepada mahkamah.
“Melalui ucapan Perdana Menteri selepas 17 April lepas, kita tahu sememangnya wujud perintah adendum berkaitan hukuman yang sedang dijalani oleh Datuk Seri Najib Razak. Kita ambil ucapan itu dan masukan dalam afidavit sebagai bukti.
“Ternyata bukan sahaja perintah adendum itu wujud sebaliknya pihak-pihak berwajib termasuk Menteri Dalam Negeri, Menteri Undang-Undang, Pengarah Penjara, Jawatankuasa Pengampunan termasuk kerajaan Malaysia tidak menguatkuasakan perintah itu.
“Tidak sepatutnya berlaku insiden menyembunyikan perintah adendum ini,” katanya katanya kepada pemberita di lobi Mahkamah Jalan Duta, di sini, hari ini.
Berikutan itu, menurut Muhammad Shafee, beliau membawa bukti itu ke mahkamah dan menyerahkan sistem perundangan membuat keputusan.
Tambah beliau, sejak beberapa bulan lalu beliau telah membuat permohonan rasmi kepada 10 pihak berkaitan tentang Titah Adendum itu, namun tidak mendapat maklum balas.
“Hanya 10 hari yang akhir ini, saya dapat salinan main order yang menyebut tentang separuh hukuman daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda dikurangkan itu saya terima.
“Ternyata pihak-pihak berwajib yang sepatutnya bertanggungjawab tidak jalankan amanah mereka,” ujarnya.
Muhammad Shafee berkata, selain itu, pasukan pembelaan juga mohon memasukkan afidavit Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi menyokong permohonan Najib.
Katanya, mahkamah membenarkan permohonan mereka dan keputusan berkaitannya akan diputuskan pada 3 Julai depan.
Sementara itu, Muhammad Shafee memohon kepada pengamal media agar bersikap adil ketika membuat liputan berkaitan anak guamnya.
“Banyak yang tidak dilaporkan. Saya beri contoh kepada anda, walaupun agensi berita CNN itu tidak suka pada bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump namun laporan mereka bersifat neutral, semuanya ada.
“Namun dalam kes anak guam saya, banyak yang tidak dilaporkan seperti yang sepatutnya. Saya mohon sangat-sangat kepada anda, tolong berlaku adil,” katanya. MalaysiaGazette