Tokoh Guru Perak 2025: Ahmad Tazally junjung semangat warga pendidik

IPOH – Penerima Anugerah Tokoh Guru Perak 2025 menyifatkan kejayaan yang diraih bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya merupakan buah tangan seluruh warga pendidik sekolah yang bekerja dengan semangat berpasukan dan penuh dedikasi.

Ahmad Tazally Mohamad Zain, 61, yang menerima pengiktirafan tersebut pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak 2025 tidak menyangka terpilih untuk menerima anugerah berkenaan.

Anak jati Kampung Gajah itu telah berkhidmat selama 34 tahun dalam dunia pendidikan dan pulang semula ke tempat kelahirannya untuk berkhidmat pada empat tahun terakhir sebagai Pengetua di Sekolah Menengah (SM) Raja Dr Nazrin Shah.

Di bawah kepemimpinannya, sekolah tersebut berjaya mencatat lonjakan prestasi akademik yang membanggakan, apabila berada dalam kelompok 10 sekolah terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 peringkat negeri Perak.

“Alhamdulillah, kejayaan ini bukan milik individu tetapi milik semua guru yang mencurahkan bakti di sekolah.

“Guru-guru ini bekerja dalam senyap, penuh dedikasi melaksanakan pelbagai aktiviti untuk kejayaan pelajar. Anugerah ini sebenarnya untuk semua warga pendidik, bukan saya seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima pengiktirafan tersebut daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak 2025 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di sini pada Khamis.

Bapa kepada tiga orang anak itu turut menegaskan bahawa kejayaan akademik tidak akan bermakna tanpa pembentukan sahsiah dan adab yang baik dalam kalangan pelajar.

“Yang penting sekali, anak didik kita perlu mengutamakan adab. Itulah asas kejayaan sebenar,” ujarnya.

Ahmad Tazally yang juga Ahli Jawatankuasa Majlis Pengetua Malaysia memulakan kerjaya sebagai guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Kinta, Ipoh pada 1989 dan kemudiannya Beliau kemudian berkhidmat di SM Raja Dr Nazrin Shah pada tahun 2000.

Pada tahun 2018, beliau berpindah ke Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh pada 2018 dan kembali semula ke SM Raja Dr Nazrin Shah untuk meneruskan khidmat sehingga bersara.

Katanya, pengiktirafan itu bukan sahaja mengiktiraf jasa dan kepimpinannya dalam dunia pendidikan, malah menjadi simbol kejayaan bersama warga pendidik yang sentiasa komited melahirkan generasi cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut bekenan menyampaikan 27 anugerah kecemerlangan membabitkan 93 penerima di seluruh negeri ini.

Antara anugerah yang disampaikan adalah Anugerah Jasamu Dikenang 2025, Anugerah Guru Cemerlang Kelas al-Quran dan Fardhu Ain 2025, Anugerah Guru Tadika Islam Perak Cemerlang 2025, serta Anugerah Hafiz Muda Tahun 2025. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin berkenan sampaikan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI