Tolak isteri jatuh gaung: Peniaga direman tujuh hari

GERIK – Seorang peniaga yang didakwa cuba membunuh isterinya dengan menolak wanita itu sehingga jatuh gaung di kilometer (km) 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dekat sini, minggu lalu, direman selama tujuh hari.

Perintah tahanan reman tujuh hari sehingga Isnin depan terhadap lelaki berusia 39 tahun itu dikeluarkan di hadapan Majistret Savinder Singh Jugindar Singh di Mahkamah Majistret Gerik, pada Selasa.

Perintah itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dengan niat membunuh.

Terdahulu, lelaki berkenaan tiba kira-kira jam 8.50 pagi di mahkamah sambil diiring pihak polis dengan memakai baju T berlengan panjang berwarna hijau dan seluar jean berwarna gelap.

Difahamkan suspek telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling kerana mencederakan abang kandungnya pada 31 Julai.

Dia kemudian direman selama enam hari untuk siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan sebelum tangkapan semula dibuat IPD Gerik selepas tempoh remannya berakhir Isnin.

Khamis lalu, media melaporkan lelaki itu ditahan polis selepas dipercayai cuba membunuh isterinya dengan menolak sehingga jatuh gaung di JRTB Gerik-Jeli, dekat sini, 27 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan wanita berusia 32 tahun itu di tepi jalan dalam keadaan cedera dan bersendirian pada hari sama.

Hasil siasatan awal mendapati, suspek telah membawa mangsa dari tempat kerja di Kuala Lumpur menuju ke Perak melalui lebuh raya utama atas alasan mahu pulang ke kampung di Kelantan.

Katanya, sepanjang perjalanan itu telah berlaku beberapa siri pertengkaran mulut antara pasangan berkenaan.

Setibanya di lokasi sebelum Hentian Royal Belum Gerik di Pulau Banding, lelaki berkenaan bertindak di luar kawalan dengan menolak isterinya sehingga jatuh ke dalam gaung dipercayai sedalam kira-kira 10 meter.

Mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak naik dari gaung ke bahu jalan sebelum ditemukan orang awam. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Lelaki tolak isteri jatuh gaung, ugut bunuh ditahan polis

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI