IPOH – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Perak berpandangan tiada keperluan untuk kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai sebahagian daripada sijil rasmi akademik negara.
Pengerusi GPMS Perak, Mohamad Faizal Haramaini berkata, penolakan untuk pengiktirafan itu bukan dibuat atas dasar sentimen perkauman, sebaliknya ia berlandaskan kepada prinsip kenegaraan serta pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Justeru katanya, pendirian itu yang kerap dilabel sebagai meniupkan sentimen perkauman adalah satu tuduhan yang bukan sahaja tidak tepat malah mengaburkan perbincangan rasional tentang asas pembinaan negara.
“Pendirian ini tidak menafikan kecemerlangan akademik pelajar UEC dan tidak menghalang mereka daripada melanjutkan pelajaran atau membina kerjaya.
“Namun, pengiktirafan negara adalah satu perkara yang berbeza daripada pengiktirafan antarabangsa atau penerimaan pasaran.
“Ia melibatkan urusan rasmi negara dan tertakluk kepada kerangka Perlembagaan serta dasar kebangsaan yang telah dipersetujui sejak merdeka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada masa sama Mohamad Faizal turut mempersoalkan isu cadangan pengiktirafan UEC yang muncul selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyaksikan DAP gagal memenangi sebarang kerusi.
Ujar beliau, situasi itu memberi gambaran jelas seolah-olah bahawa tuntutan berkenaan muncul atas sebab faktor politik.
“Dalam keadaan keyakinan politik terjejas, isu UEC kembali diangkat sebagai retorik politik untuk mengukuhkan sokongan dan memujuk penyokong teras dalam komuniti tertentu.
“Tiba-tiba dihangatkan semula, maka adakah tuntutan ini atas keperluan dasar pendidikan?,” soalnya.
Mohamad Faizal menjelaskan, sistem pendidikan kebangsaan dibina berteraskan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama, dengan kurikulum yang seragam bagi tujuan penyatuan rakyat serta pembentukan identiti nasional.
Kata beliau, negara sudah mempunyai sistem pendidikan yang jelas dan Sijil Pelajaran Malaysia ialah arus perdana negara yang dibina untuk tujuan penyatuan, pembentukan identiti nasional serta hala tuju pembangunan Malaysia.
Jelas beliau lagi, UEC ialah laluan alternatif yang sah dan dibenarkan untuk wujud, akan tetapi laluan akademik alternatif itu tidak perlu dipaksa menjadi dasar nasional.
“Saya percaya kita mampu menghormati kepelbagaian tanpa menggadaikan Perlembagaan dan meraikan kecemerlangan tanpa mengorbankan asas kenegaraan.
“UEC tidak perlu diiktiraf, (sebaliknya) yang perlu ditolak ialah penggunaan isu pendidikan sebagai agenda politik sempit yang akhirnya merugikan keharmonian negara,” tegasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


