IPOH – Pemuda UMNO Ipoh Barat, menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) demi kesejagatan sistem pendidikan negara.
Ketua Pemudanya, Muhammad Hamzah Hamdan berkata, pengiktirafan UEC dikhuatiri akan meningkatkan pemisahan aliran pendidikan, sekali gus menjejaskan usaha penyatuan pelajar dalam rangka membina perpaduan nasional.
Justeru itu beliau berkata, Pergerakan Pemuda UMNO Ipoh Barat menegaskan pendirian untuk tidak menyokong sebarang usaha pengiktirafan Sijil UEC.
“Pendirian ini berasaskan beberapa pertimbangan penting, khususnya bahawa UEC tidak mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan.
“Selain itu, UEC juga tidak menggunakan Kurikulum Kebangsaan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar rasmi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Muhammad Hamzah, kesetaraan antara UEC dan kelayakan arus perdana seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dilihat tidak adil kepada pelajar sistem kebangsaan yang mengikuti laluan standard yang diselaraskan oleh kerajaan.
Jelas beliau, Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat turut berpandangan bahawa pengiktirafan ini boleh membuka ruang kepada tuntutan pengiktirafan sijil-sijil alternatif lain yang tidak berteraskan dasar pendidikan negara.
“Di samping itu, sebarang kelayakan yang diiktiraf oleh negara sewajarnya mengutamakan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Dengan ini, kami mengekalkan komitmen untuk mempertahankan dasar pendidikan nasional dan memastikan kepentingan pelajar arus perdana serta kedudukan Bahasa Melayu terus terpelihara,” katanya. -MG Perak


