IPOH – Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) terutamanya ke arah utara dilaporkan mula sesak susulan peningkatan pergerakan kenderaan menjelang sambutan Aidilfitri.
Tinjauan Malaysia Gazette (MG) Perak berhampiran Plaza Tol Ipoh Utara mendapati aliran trafik ke arah utara lebih perlahan berbanding laluan ke selatan, dipercayai akibat pertambahan jumlah pengguna jalan raya yang pulang ke kampung.
Keadaan ini turut dilihat berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan, yang mencatatkan peningkatan kenderaan, walaupun masih dalam keadaan terkawal.

Situasi tersebut dijangka berpunca daripada pengumuman kerajaan mengenai pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus kepada semua kenderaan persendirian (Kelas 1) di seluruh negara sempena Aidilfitri 2026.
Inisiatif yang berlangsung selama dua hari bermula 18 Mac, jam 12.01 pagi hingga 19 Mac, 11.59 malam itu bertujuan mengurangkan kos perjalanan rakyat, sekali gus menggalakkan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut hari raya bersama keluarga.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan dengan baik dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kesesakan lebih teruk. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Peniaga Pasar Besar Ipoh buat persiapan awal, elak ‘raya mengejut’


