IPOH – Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) dalam perancangan melaksanakan kajian risiko kemalangan dan bencana di kawasan pendakian susulan tragedi kematian seorang pendaki di puncak Gunung Liang di, Tanjung Malim, Oktober lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah itu diambil bagi mengenal pasti kawasan berisiko serta menambah baik langkah pencegahan daripada insiden itu kembali berulang.
Katanya, JPNPk turut meneliti penggunaan sistem pemantauan dan penilaian secara masa nyata atau ‘real-time’ bagi kawasan pendakian berisiko tinggi untuk meningkatkan kecekapan tindak balas sekiranya berlaku insiden tidak diingini.
“Sebagai langkah kawalan tambahan, JPNPk sedang melaksanakan Kajian Had Daya Tampung Kawasan Pendakian Tumpuan di Perak melalui peruntukan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT).
“Dua kajian telah disiapkan di daerah hutan Kinta, Manjung dan Perak Selatan, dua lagi sedang dijalankan di Hulu Perak dan Kuala Kangsar, manakala satu lagi di Larut dan Matang dijadualkan pada tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan M Thulsi Thivani (PH-Buntong) dan Norhaslinda Zakaria (PN-Pangkor) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Jelas Saarani (BN-Kota Tampan), kajian berkenaan akan membantu kerajaan negeri menetapkan kuota pendaki yang dibenarkan pada satu-satu masa bagi memastikan aktiviti pendakian dijalankan secara terkawal, selamat dan lestari.
Dalam pada itu kata beliau, bagi memastikan keselamatan dan kawalan aktiviti, JPNPk telah menggubal Prosedur Operasi Standard (SOP) Pendakian HSK Negeri Perak dengan kerjasama pelbagai agensi.
Ujar beliau, ia seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Jabatan Meteorologi serta Persatuan Malim Gunung Negeri Perak.
“SOP ini menjadi panduan utama dalam aspek pengurusan risiko, keselamatan, tindakan kecemasan serta tanggungjawab pihak berkaitan termasuk pihak berkuasa perhutanan, pentadbir kawasan, malim gunung dan pendaki,” katanya.
Manakala bagi aktiviti yang melibatkan rentas negeri, Saarani memberitahu, JPNPk akan berunding dengan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Kelantan dan Pahang.
Jelas beliau, usaha itu bagi memperhalusi syarat serta penyelarasan tatacara pendakian trans agar aspek keselamatan dan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan secara bersama.
Pada 22 Oktober lalu media melaporkan kawasan pendakian Gunung Liang ditutup kepada orang awam berkuat kuasa serta-merta sehingga suatu tarikh dimaklumkan kelak.
Terdahulu pada 16 Oktober lalu, pendaki Mustaqqeem Mansoor, 34, ditemukan meninggal dunia pada jam 3.30 petang di puncak Gunung Liang Barat dekat Tanjung Malim selepas kali terakhir dilihat pada 14 Oktober.
Allahyarham sebelum itu dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 10 rakan dari Bukit Fraser di Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pendaki Gunung Liang maut: Lapan individu telah dipanggil polis


