Tragedi kepala air: Jasad kanak-kanak 4 tahun pula ditemukan

TAPAH – Salah seorang mangsa daripada tiga kanak-kanak yang dikhuatiri lemas dalam kejadian kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor, dekat sini, ditemukan pada Rabu.

Mangsa lemas dikenali sebagai Hafiy Muhayat Azam, berusia 4 tahun yang juga anak kedua dari tiga beradik ditemukan pada sekitar jam 9.50 malam.

Identiti mangsa disahkan ibu saudara, Aznur Radin Mustapha Amiruddin, 51, yang berada di lokasi kejadian bagi membuat pengecaman.

tragedi kepala air bidor tapah perak kanak-kanak lemas
Ketua Polis Daerah Tapah Superitendan Mohd Naim Asnawi. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 FEBRUARI 2024.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, kanak-kanak itu ditemukan oleh penduduk kampung yang turut membantu pasukan mencari dan menyelamat mangsa

“Mangsa telah ditemukan pada kedudukan 600 meter dari lokasi keluarganya berkelah, dan mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Berdasarkan kepada maklumat, mangsa ditemukan tersangkut pada akar timbunan pokok di dasar sungai,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Terdahulu, dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, tujuh sekeluarga yang sedang menjalankan aktiviti berkelah di kawasan Sungai Kenjur terperangkap dalam kejadian kelapa air.

Empat daripada mangsa iaitu seorang wanita bersama tiga anaknya dipercayai hilang dihanyutkan arus deras sementara tiga lagi terselamat.

tragedi kepala air bidor tapah perak kanak-kanak lemas
Aznur Radin Mustapha Amiruddin, 51, menunjukkan antara barangan dipercayai dimiliki dua anak saudaranya dikhuatiri masih hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Kenjur Kampung Poh, Bidor. Foto ABDULLAH YUSOF, 7 FEBRUARI 2024.

Jasad Aszura Bani, 37, ditemukan pada kedudukan kira-kira 600 meter dari lokasi perkelahan oleh penduduk kampung sekitar jam 4.30 petang.

Sementara dua lagi mangsa yang masih hilang ialah Hanum Marissa, 2, Hanna Mikayla, 7.

Kejadian sama turut melibatkan kakak kepada Aszura, Aslinda Bani, 38, dan anak lelakinya berusia 11 tahun.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka bersama dengan seorang pengasuh wanita warga Indonesia berusia 30-an dilaporkan selamat. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Tragedi kepala air: Tiga kanak-kanak dikhuatiri hanyut

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI