ALOR SETAR – Mayat seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas mesin padi yang dinaikinya bersama tiga lagi rakannya terjatuh ke dalam sungai di Kampung Sanglang, dekat Jitra, semalam, telah ditemukan pagi ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, mayat Muhamad Amsyar Muqri Mohd Asri, 18, ditemukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada pukul 10.01 pagi tadi.
“Anggota PPDA memulakan operasi pencarian pada 8.30 pagi tadi di sekitar lokasi mangsa dipercayai terjatuh. Pencarian dilakukan dalam radius 10 meter dengan kedalaman air sungai dianggarkan empat meter.
“Mangsa berjaya ditemukan di dasar sungai pada kedalaman empat meter, kira-kira 10 meter dari lokasi awal mangsa dilaporkan terjatuh. Operasi turut dibantu anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Katanya, waris mangsa telah membuat pengecaman di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.53 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan penemuan mayat mangsa, yang juga penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim (Polimas), Jitra.
Dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi diselamatkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra.
— BERNAMA