SERI ISKANDAR – Seorang lelaki cedera selepas treler yang dipandunya terbabas dalam nahas di Lebuhraya Ipoh – Lumut, Jalan Tronoh, berdekatan Taman Harmoni, di sini, tengah hari tadi.
Treler yang sarat membawa muatan kelapa sawit itu terbabas sebelum terbalik merintangi jalan tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 12.44 tengah hari.
Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dan Parit dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.
“Ketika tiba di lokasi kita mendapati kemalangan melibatkan sebuah treler yang membawa muatan kelapa sawit terbabas merintangi jalan dan terdapat sebuah kereta Proton Saga turut terlibat.
“Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu treler berusia 53 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala.
“Tindakan Operasi adalah membuat size-up dan mengaplikasikan konsep SAVER, seterusnya memberi rawatan awal kepada mangsa.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi rawatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Kamel Sanik tamat sepenuhnya jam 1.30 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan: