IPOH – Sebuah treler muatan sabun pencuci pinggan terbabas dan merintangi jalan sehingga menyebabkan kesesakan trafik di kilometer (km) 256.7 di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini, pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian berhampiran Terowong Menora itu pada jam 12.06 tengah hari.
Katanya, sejurus selepas itu tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati treler berkenan telah merintangi jalan raya dengan seorang pemandu lelaki berusia 39 tahun cedera.
“Lelaki terbabit bagaimanapun telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Sabarodzi memberitahu, kerja-kerja pengalihan treler kemudian dilakukan pihak PLUS sementara pasukan bomba melakukan pembersihan terhadap sisa kemalangan di jalan raya.
“Mangsa yang cedera telah diserah kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba sejurus selepas dihubungi untuk menerima rawatan lanjut,” ujarnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP), L Rambaboo itu tamat pada jam 1.44 tengah hari.
Sementara itu Plustrafik menerusi akaun X memaklumkan, trafik tidak bergerak sehingga 7 km selepas semua lorong terhalang sekitar jam 1.20 tengah hari.
Berdasarkan hantaran jam 3 petang, Plustrafik memaklumkan trafik kedua-dua arah masih sesak dan pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan.
“Kerja-kerja pengalihan atau pembersihan sedang dijalankan di lokasi kejadian dengan semua lorong masih terhalang.
“Laluan kontra masih diaktifkan bermula pada km257.3 sehingga km 256.2. Sementara pusingan U di terowong dan lencongan keluar di Plaza Tol Ipoh Selatan telah dinyahaktifkan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pekerja kontrak temui bom mortar di Terowong Menora