Tuanku Zara Salim berkenan rasmi Simposium ‘Women In Medicine 2025’

IPOH – Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat merasmikan Majlis Simposium ‘Women In Medicine 2025’ sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia di Hotel Weil, pada Selasa.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 10 pagi disambut oleh isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin.

Hadir sama, isteri Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datin Che Fauziah Ahmad; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha dan Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Perak, Dr S Suresh.

Dalam majlis itu, Tuanku Zara turut berkenan menyempurnakan lafaz rasmi dan gimik perasmian seterusnya menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.

Sementara itu, Suresh dalam sembah ucapannya berkata, wanita semakin menunjukkan pengaruh besar dalam mengubah landskap perubatan negara apabila menjadi antara tenaga kerja utama dalam sektor kesihatan.

Menurutnya, kaum wanita turut berperanan dalam menjadi pemimpin kepada perubahan dasar, penyelidikan dan kesejahteraan komuniti bagi bidang perubatan.

Tambahnya, simposium bertemakan, ‘Wanita Memimpin Perubahan: Advokasi dan Pemerkasaan dalam Perubatan’ anjuran MMA Perak ini bertujuan menonjolkan sumbangan luar biasa wanita dalam bidang perubatan serta menyeru semua pihak menyokong gerakan pemerkasaan tersebut.

“Simposium ini bukan sekadar tradisi atau KPI (Petunjuk Prestasi Utama) acara tahunan. Ia adalah satu gerakan serta menyediakan satu wadah yang mana kita dapat berkumpul dan bersuara untuk menghormati sumbangan luar biasa wanita dalam bidang perubatan.

“Ia mencipta satu dialog yang bermakna tentang cabaran, pengorbanan dan kejayaan wanita dalam bidang perubatan,” katanya.

Tuanku Zara Salim berkenan rasmi Simposium ‘Women In Medicine 2025’
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bergambar pada Majlis Simposium ‘Women In Medicine 2025’ sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia di Hotel Weil, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 JUN 2025.

Beliau berkata, pergerakan dan perubahan hala tuju wanita pada masa kini dilihat semakin meningkat dan mencerminkan bukan sekadar penyumbang tenaga mereka dalam perubatan, malah telah maju serta melangkah ke hadapan sebagai wanita moden yang memimpin.

“Dalam pada itu, simposium ini turut menyoroti perjuangan wanita dalam memimpin bukan sahaja demi kerjaya mereka, tetapi juga demi pesakit, komuniti dan masa depan sistem penjagaan kesihatan negara.

“Mereka mengetuai usaha untuk meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan, untuk menangani perbezaan jantina dalam kepimpinan, mendorong peluang yang sama, serta memastikan bahawa sistem penjagaan kesihatan adalah inklusif dan responsif kepada semua golongan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Suresh menekankan bahawa advokasi sahaja tidak mencukupi tanpa digandingkan dengan pemerkasaan yang sebenar dan menyeluruh.

“Pemerkasaan sebenar terletak pada penciptaan sistem dan budaya yang memartabatkan wanita dengan menjalinkan peluang, menyediakan bimbingan, dan menawarkan fleksibiliti yang bersesuaian.

“Ini secara tidak langsung membolehkan wanita memimpin, bukan dengan mengenepikan peranan mereka sebagai ibu, anak perempuan dan penjaga, tetapi dengan merangkul peranan ini sebagai sebahagian daripada kejayaan mereka,” jelasnya.

Ujar beliau, wanita kini berada di barisan hadapan dalam inovasi klinikal, pembaharuan dasar kesihatan, dan advokasi pesakit.

“Mereka memacu penyelidikan, membentuk strategi kesihatan awam, dan membimbing generasi profesional baru dalam penjagaan kesihatan,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak galak hospital swasta anjur simposium kesihatan – Exco

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI