KUALA LUMPUR – Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menyifatkan tuduhan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh seolah-olah ejen Perikatan Nasional (PN) sebagai agak melampau.
Menurut Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkenaan, Dr. Muhamad Akmal mungkin dilihat sebagai seorang yang terlalu lantang, namun ia merupakan cara kepimpinan masing-masing.
Malah, ujar beliau, Dr. Muhamad Akmal juga telahpun dituduh di mahkamah dan sedang berhadapan tindakan akibat perbuatan beliau sebelum ini.
“Secara peribadi, saya menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha yang mahu menggugat perpaduan dengan tuduhan yang tidak berasas, terutamanya tuduhan terhadap Ketua Pemuda UMNO Malaysia,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Menerusi hantaran sama, Nurulhidayah turut berkongsi pautan berita berkenaan kenyataan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor yang mendakwa Dr. Muhamad Akmal bertindak sebagai ejen PN dalam Kerajaan Perpaduan.
Sehubungan itu, DAPSY Selangor menggesa DAP dan DAPSY Kebangsaan memutuskan hubungan politik dengan Dr. Muhammad Akmal.
Jumaat lalu, Dr. Muhamad Akmal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang atas pertuduhan menimbulkan kegentaran terhadap keselamatan awam menerusi akaun media sosial beliau pada 11 Ogos lalu, berkait kontroversi kejadian pemasangan Jalur Gemilang terbalik di sebuah premis di negeri itu.
Sementara itu, Nurulhidayah mengingatkan tuduhan tanpa bukti hanya racun yang boleh memecah-belahkan perpaduan.
Ujarnya, semua pihak tidak boleh membiarkan politik negara dicemari dengan fitnah dan dakwaan kosong yang hanya menguntungkan pihak-pihak yang berkepentingan.
Tegas beliau, politik yang matang menuntut keberanian untuk berhujah dengan fakta, bukan tuduhan kosong, manakala rakyat memerlukan pemimpin yang mendidik dengan kebenaran, bukan menyesatkan dengan fitnah dan hasutan.
“Marilah kita bersama mengangkat politik yang berhemah, demi menjaga maruah bangsa, agama dan tanah air.
“Jangan biarkan fitnah menjadi punca kehancuran,” katanya. – MalaysiaGazette