Tuduhan timbulkan kegentaran awam: Hilman dibicara 2 Mac tahun depan

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham terhadap pertuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam, akan didengar oleh Mahkamah Majistret bermula 2 Mac tahun depan.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menetapkan tarikh perbicaraan selama dua hari berturut-turut sehingga 3 Mac 2026.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman memaklumkan pihaknya telah menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan dan memohon tarikh perbicaraan ditetapkan.

“Pihak pendakwaan baru sahaja menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan bagi memastikan perbicaraan kes ini berjalan secara teratur,” kata Mohd. Sabri pada sebutan kes hari ini.

Sementara itu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammad Hilman mengesahkan telah menerima dokumen terbabit daripada pihak pendakwaan.

Selepas prosiding ditangguhkan, Muhammad Rafique memberitahu pihak media, anak guamnya bersedia untuk perbicaraan dan tidak berhasrat untuk memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hilman, 36, didakwa mengeluarkan kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam di sebuah akaun TikTok yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam pada pukul 2.09 petang, 30 Julai lalu.

Kenyataan tersebut telah dilihat dan didengar oleh pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini.

Pertuduhan terhadap Muhammad Hilman dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Video akaun TikTok alfah.channel.tv memaparkan ucapan Muhammad Hilman ketika Himpunan Malam Solidariti Tolak Akta Hasutan pada 29 Julai lalu.

Difahamkan, himpunan itu dianjurkan bagi membantah penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap pemimpin politik dan aktivis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI