PASIR SALAK – Tujuh individu cedera selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya antara dua kereta di Jalan Ulu Dedap Kampung Bukit Cawi di Kampung Gajah, di sini, pada Sabtu,
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan insiden itu pada jam 4.14 petang.
Katanya, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah kemudian diatur gerak ke lokasi kejadian bagi operasi penyelamatan.
“Kemalangan membabitkan enam mangsa dalam sebuah kereta jenis Honda City dan seorang dalam kereta Proton Perdana.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati kesemua mangsa dari kereta Honda City telah berjaya dibawa keluar oleh orang awam dari kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sabarodzi, pasukan bomba melakukan ‘size up’ terlebih dahulu dan seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) ke atas pemandu kereta Proton Perdana.
“Mangsa berjaya dibawa keluar dari kenderaan berkenaan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menerima rawatan lanjut,” ujarnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I KUP Zahuri Zainal Abidin itu tamat pada jam 5.01 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dua kanak-kanak antara empat cedera kemalangan kereta bertembung van


