TELUK INTAN – Seorang penghantar barang e-dagang antara tujuh lelaki yang ditahan pihak polis bagi membantu siasatan terhadap kejadian merusuh semasa kejohanan bola sepak di Padang Speedy, dekat sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, kesemua mereka yang berusia antara 21 sehingga 31 tahun itu ditahan pada jam 11.30 malam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Menurutnya, penahanan tujuh suspek itu dilakukan susulan laporan polis yang diterima pihaknya tentang pergaduhan melibatkan dua pasukan bola sepak sekitar jam 6.53 petang.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, pergaduhan itu berlaku ketika separuh masa kedua perlawanan sebuah acara liga bola sepak sekitar jam 5 petang.
“Berlaku insiden kekerasan apabila seorang pemain sebuah pasukan bola sepak telah melakukan ‘tackle’ atau merebut bola dengan pemain pasukan lawan.
“Tindakan merebut bola secara keras tersebut mencetuskan pertelingkahan antara pemain kedua-dua pasukan.
“Pemain terbabit dikatakan dilihat menumbuk pemain lawan terlebih dahulu dan ia menyebabkan situasi menjadi tegang dan tidak terkawal,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Bakri berkata, pergaduhan kemudian menjadi besar apabila ia membabitkan semua pemain serta dua penonton yang bertindak memanjat pagar sebelum masuk ke dalam padang.
Kata beliau, dalam insiden itu seorang pengurus pasukan dikatakan bertindak menyerang pengadil yang cuba meleraikan pergaduhan dengan satu tumbukan di bahagian rusuk.
“Serangan itu menyebabkan pengadil terbabit terjatuh di atas padang dengan beberapa pemain lain turut menyerang pengadil lain secara fizikal,” ujar beliau.
Tambah beliau, kesemua suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut sebaik siasatan selesai,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: