TELUK INTAN – Seorang tukang masak mengalami kerugian sebanyak RM20,000 akibat ditipu ahli sindiket penipuan yang melakukan taktik penyamaran dengan mengenakan seragam polis melalui panggilan video menerusi aplikasi WhatsApp pada Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa, wanita berusia 46 tahun membuat laporan polis selepas menyedari ditipu pada 5 Februari lalu.
Menurutnya, mangsa menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali pada 25 Januari sekitar jam 4 petang yang mendakwa mangsa telah membuat tuntutan insurans di sebuah hospital swasta di sini.
“Selepas mangsa menafikan perkara tersebut, panggilan tersebut disambungkan kepada individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis berpangkat sarjan dari Balai Polis Ampang.
“Dalam panggilan video Whatsapp, mangsa melihat seorang lelaki berpakaian seragam yang menuduh mangsa terlibat dalam penggubahan wang haram.
“Mangsa kemudiannya dihubungi seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai inspektor yang menyatakan siasatan memerlukan bayaran sebanyak RM20,000.
“Seterusnya, mangsa bercakap dengan seorang lagi individu yang mendakwa dirinya sebagai Timbalan Pendakwa Raya serta meyakinkan mangsa bahawa wang tersebut akan dipulangkan selepas siasatan selesai.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.
Ahmad Adnan berkata, mangsa memasukkan wang tunai sebanyak RM20,000 secara berperingkat ke dalam sebuah akaun bank pada 31 Januari lalu melalui mesin deposit tunai (CDM) di Teluk Intan dan mangsa diarahkan oleh suspek untuk memusnahkan bukti transaksi tersebut.
“Setelah diberitahu bahawa kes telah “selesai”, mangsa diminta membuat bayaran tambahan untuk proses ikat jamin. Namun, mangsa tidak meneruskan pembayaran dan mula menyedari telah ditipu,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang pesara guru terpaksa berputih mata selepas wang berjumlah RM64,218 lesap selepas terpedaya oleh sindiket penipuan yang menawarkan cabutan bertuah yang kononnya dianjurkan sebuah bank tempatan di aplikasi Facebook pada Ahad.
Ahmad Adnan memaklumkan, mangsa, wanita berusia 53 tahun membuat laporan polis pada Isnin lalu selepas menyedari dirinya telah diperdaya dengan sindiket tersebut.
“Mangsa telah memasukkan maklumat peribadi dan butiran akaun bank termasuk nombor kad pengenalan, nombor akaun bank dan butiran log masuk ke aplikasi bank berkenaan.
“Selepas membuat semakan di bank terbabit, mangsa mendapati wang di dalam akaun miliknya telah berkurangan dan pihak bank mengesan sebanyak 21 transaksi pemindahan wang ke dalam 16 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM64,218.
“Pihak bank telah mengambil tindakan segera membekukan akaun bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan wang,” ujarnya.
Beliau berkata, jiran mangsa juga turut menjadi mangsa penipuan apabila mendapati baki akaun banknya berkurang dari RM186,934.05 kepada RM122,716.05. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pelajar universiti rugi RM115,786 ditipu ‘scammer’ menyamar wakil kedutaan China