KEPALA BATAS – Warganet mengecam tindakan dua lelaki dipercayai pekerja sebuah kedai perkakasan di Bertam di sini, yang bertindak memasang dan mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik selepas rakaman perbuatan itu tular di media sosial hari ini.
Dalam rakaman berdurasi 21 saat itu, seorang lelaki kelihatan sengaja memasang Jalur Gemilang terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala seorang lagi merakam aksi tersebut.
Tindakan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang menganggapnya sebagai tidak menghormati bendera negara, apatah lagi ketika sambutan Bulan Kebangsaan sedang berlangsung.
Video berkenaan mula tersebar luas sejak pagi tadi selepas dimuat naik ke beberapa platform media sosial, dengan ramai pengguna mengecam perbuatan tersebut.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Polis Pulau Pinang berhubung kejadian tersebut. – MalaysiaGazette