KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan sama ada dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meneruskan kerjasama politik.
Ia, katanya, selepas Dr. Mahathir membuat dakwaan Muhyiddin `mencuri duit parti’ dan menyimpannya di rumah yang disifatkan sebagai tuduhan berat dan benar-benar memalukan.
Malah beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan Muhyiddin yang tidak akan menyaman Dr. Mahathir atas dakwaan itu membawa maksud Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan terdesak untuk meminta pertolongan Dr. Mahathir bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan pendirian Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin serta kumpulannya memandangkan isu itu boleh menjadi ‘senjata’ bagi menggulingkan Muhyiddin.
“Dan di mana maruah Mahathir jika dia bekerjasama dengan orang yang dia tuduh pencuri? Dalam video itu, dia sendiri tegur Muhyiddin kerana bekerjasama dengan Najib.
“Mahathir dan Muhyiddin menjadikan politik Malaysia semakin toksik. Dua-dua kena berundur,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Terdahulu, tular video Dr Mahathir yang membangkitkan mengenai tindakan seorang individu yang didakwa mahu menjadi Perdana Menteri bagi mengelak dipenjarakan kerana mencuri duit parti yang disimpan di rumahnya.
Bagaimanapun, Armada Bersatu Johor mendakwa rakaman video pertemuan mereka dengan Dr. Mahathir itu telah dimanipulasi dan disunting bagi mencetuskan persepsi palsu bahawa Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mencuri wang parti.
Susulan itu juga, Muhyiddin juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut, selain menyifatkannya tuduhan liar berbentuk sangkaan yang amat tidak berasas, namun tidak berhasrat mengheret Dr. Mahathir ke mahkamah. – MalaysiaGazette


