IPOH – Persepsi lama yang menghadkan peranan masjid sebagai tempat komuniti melaksanakan ibadah khusus dan mempelajari ilmu agama perlu diubah selari dengan peredaran masa.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar meningkatkan syiar Islam di masjid perlu disahut semua masjid dalam negeri ini.
“Baginda menitahkan agar kita menggerakkan pelbagai program dan aktiviti yang meningkatkan syiar Islam di masjid dengan mencipta budaya dan inovasi yang berupaya menarik lebih ramai remaja untuk mengimarahkan masjid.
“Seruan baginda itu sangat bertepatan dengan senario semasa apabila masjid tidak lagi dilihat sebagai tempat beribadah semata-mata.
“Kita melihat dewasa ini, masjid dan surau telah menjadi taman ilmu dan pusat informasi melalui kewujudan pusat sumber dan kemudahan internet selain dilengkapi komputer,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis ‘Executive Talk’ dan Perutusan Tahun Baharu 2024, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) di Dewan Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini, pada Isnin.
Menurut Saarani, selari dengan perubahan zaman yang menuntut kita cakna terhadap revolusi teknologi, JAIPk wajar menyahut seruan untuk tumbuh dan berkembang melalui inovasi.
Ujar beliau ia bukan sahaja dari segi pelaksanaan gerak kerja, tetapi dalam usaha menarik perhatian anak-anak muda untuk mendekati masjid.
“Mari kita ubah persepsi lama yang hanya menghadkan peranan masjid sebagai tempat komuniti melaksanakan ibadah khusus dan mempelajari ilmu agama.
“Sebaliknya menyebarluaskan peranannya sebagai pusat aktiviti setempat generasi muda melalui penganjuran program yang terancang dan tersusun khusus untuk mereka.
Saarani berkata, sebanyak 69 buah masjid telah mempunyai kemudahan berkenaan dan pengiktirafan telah diberikan kepada beberapa buah masjid yang telah memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh JAIPk.
“Baginda Sultan juga turut menyarankan agar perhatian sewajarnya diambil dalam membimbing anak muda menguasai kemahiran e-sukan.
“Tuanku juga berkenan dengan saranan supaya masjid mengambil daya usaha menganjurkan pertandingan sukan elektronik atau e-sukan di kariah masing-masing.
“Memahami perubahan zaman yang menuntut kita cakna terhadap revolusi teknologi, JAIPk wajar menyahut seruan untuk tumbuh dan berkembang melalui inovasi bukan sahaja dari segi pelaksanaan gerak kerja, tetapi dalam usaha menarik perhatian anak-anak muda untuk mendekati masjid,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belia aset utama negara, perlu diempang secara produktif – Sultan Perak
Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan suram – Sultan Perak
[…] Ubah persepsi lama masjid sekadar tempat laksana ibadah khusus […]