JOHOR BAHRU – Mana-mana pemimpin UMNO yang mengugut mahu tarik sokongan dalam Kerajaan Perpaduan perlu meletak jawatan terlebih dahulu bagi menunjukkan kesungguhan dan keberanian.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Jalex Lee En Xiang berkata, langkah itu akan menunjukkan benar-benar konsisten dengan pendirian mereka malah dilihat lebih bermaruah.
“Khususnya pemimpin UMNO yang mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan mereka sebahagian komponen kerajaan, adalah lebih bermaruah mereka bertindak secara konsisten dengan pendirian mereka termasuk meletakkan jawatan terlebih dahulu.
“Hanya dengan itu barulah tindakan yang benar-benar bermaruah dapat dizahirkan. Jika tidak, ia hanya akan memperlihatkan sikap tamakkan jawatan dan kuasa. Bukan berani bersuara tetapi takut bertindak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dalam sidang medianya berkata, UMNO sepatutnya memikirkan semula kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya beranggapan apa yang berlaku dalam kes titah adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak adalah serius bertentangan dengan perjuangan parti itu dalam mempertahankan kedaulatan raja-raja.
Katanya, para pemimpin UMNO juga perlu menyerahkan kuasa atau jawatan yang disandang mereka dalam Kerajaan Perpaduan atas alasan yang sama.
Jelasnya, ini bagi memastikan UMNO kembali mempunyai kuasa dan pengaruh dalam politik negara serta tidak lagi bergantung kepada mana-mana parti politik lain.
Selain Tengku Razaleigh, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh turut membuat desakan yang sama.
Mengulas lanjut, En Xiang berkata, sekiranya pemimpin UMNO terbabit tidak berani bertindak atas kapasiti peribadi, maka adalah lebih baik untuk meneruskan kerjasama demi kepentingan negara.
“Kita semua dalam komponen Kerajaan Perpaduan telah diberikan mandat dan amanah oleh rakyat untuk mentadbir Malaysia dengan lebih baik.
“Apabila kepercayaan ini diberikan, maka menjadi tanggungjawab kita bersama-sama untuk melaksanakannya sebaik mungkin, bukannya terus berpolitik sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette


