IPOH – Ketika umat Islam bersiap menyambut kedatangan Ramadan esok, Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Manjoi diuji dengan musibah banjir lumpur yang melanda kelmarin memusnahkan pelbagai kelengkapan asas serta menjejaskan kehidupan penghuni di situ.
Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman, Azad Ashraf Hawari, 31, menyifatkan kejadian itu sebagai ujian daripada Allah SWT.
Menurutnya, walaupun berdepan kesukaran, pihak pengurusan bertekad memulihkan kemudahan asas terlebih dahulu.

“Dalam perancangan, kita akan selesaikan satu persatu. Untuk hari ini, disebabkan esok kita hendak sambut Ramadan, kita selesaikan fasiliti seperti tempat tidur, dapur dan makanan.
“Diharapkan orang ramai dapat menghulurkan bantuan. Sekiranya ada yang ingin membantu, kita minta sangat perkakas elektrik seperti peti ais dan mesin basuh yang menjadi kegunaan harian penghuni di sini.
“Ini semua ujian. Kita sedih pun tidak bawa ke mana,” katanya ketika ditemui di pusat jagaan tersebut di Manjoi pada Rabu.

Mengimbas kembali detik cemas pada Isnin lalu, Azad Ashraf berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6 petang apabila paras air naik secara mendadak dalam tempoh yang singkat.
“Pada hari kejadian sekitar 6 petang air naik sangat cepat dan secara mendadak. Dalam 15 minit air sudah berada di paras pinggang saya.

“Banyak barangan di sini tidak dapat diselamatkan cuma anak-anak yatim yang kecil ini kita paut, pimpin dan bawa keluar dari banjir. Alhamdulillah semua selamat dan tiada sebarang kecederaan,” ujarnya.
Katanya, seramai 20 penghuni lelaki dan perempuan berusia antara 4 hingga 17 tahun tinggal di pusat kebajikan berkenaan yang terdiri daripada anak yatim dan golongan asnaf.

Beliau berkata, banjir lumpur yang melanda turut menyebabkan kerosakan besar terhadap pelbagai kelengkapan harian termasuk peralatan elektrik dan perabot.
“Keseluruhan semua barang termasuk peti ais, mesin basuh, peti sejuk beku, buku, rak buku, almari baju semua rosak. Tilam sebahagian sahaja masih boleh digunakan kerana berada di bahagian atas katil dua tingkat.

“Kejadian banjir lumpur ini adalah yang sangat teruk. Kalau pada hari pertama memang tebal lumpurnya. Hari ini yang tinggal hanya sisa sahaja. Kita mula mengemas dan membersihkan premis ini dari semalam,” jelasnya.
Azad Ashraf memaklumkan, bagi memastikan keselamatan penghuni, kanak-kanak kecil dipindahkan sementara ke asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Ar-Ridwani yang terletak berhampiran pusat jagaan tersebut.

Tambahnya, kerugian akibat bencana itu dianggarkan melebihi RM50,000 termasuk peralatan elektrik, perabot, kelengkapan persekolahan dan barangan peribadi penghuni.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan beberapa pihak telah tampil menghulurkan bantuan termasuk agensi kerajaan, wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat yang membantu kerja pembersihan dan pemindahan barangan.

“Buat masa ini, kita tiada perancangan untuk berpindah dan dalam perancangan InshaAllah sedang berusaha untuk membaik pulih struktur bangunan yang retak serta menaik taraf premis sedia ada,“ katanya.
Dalam kejadian 16 Februari lalu, beberapa kawasan di sekitar Daerah Kinta dilanda banjir berikutan limpahan Sungai Pari ke kawasan penempatan rendah dan berisiko khususnya di sekitar Manjoi dan Buntong. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
11 mangsa banjir dari lima keluarga di Ipoh masih ditempatkan di PPS


