Umat Islam diseru terus bantu Palestin – Mohd Na’im

KUALA LUMPUR – Pengumuman perjanjian gencatan senjata di Gaza yang bakal berkuat kuasa pada Ahad ini merupakan satu perkembangan positif serta amat dialu-alukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan gencatan senjata tersebut mestilah menjadi batu loncatan ke arah matlamat menubuhkan negara Palestin yang berdaya maju, berdaulat dan merdeka yang telah lama tertangguh.

“​Sesungguhnya mangsa-mangsa di Palestin telah melalui konflik ini dengan penuh kesengsaraan dan penderitaan.

“Mereka memerlukan sokongan daripada masyarakat dunia untuk membina semula kehidupan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Mohd Na’im berkata, ​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru umat Islam untuk terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat Palestin sebagai tanda kesatuan hati dan jiwa.

“Marilah bersama-sama kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar masyarakat di Palestin terus diberikan keafiatan dan kesejahteraan,” ujarnya.

Menurut laporan, perunding antara Israel dan Hamas telah mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata selama 42 hari serta pembebasan tebusan di Gaza yang dijangka berkuat kuasa pada 19 Januari (Ahad).

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, yang memainkan peranan penting dalam proses perantaraan memaklumkan kedua-dua belah pihak sedang berusaha menyelesaikan beberapa perkara teknikal sebelum perjanjian dimuktamadkan.

Menurut dokumen yang disahkan kedua-dua pihak, perjanjian ini melibatkan gencatan senjata selama enam minggu pada fasa pertama, yang diikuti penarikan secara berperingkat pasukan tentera Israel dari Gaza.

Dalam masa yang sama, tebusan yang ditahan oleh Hamas akan dibebaskan sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin yang dipenjara oleh Israel. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI