KUALA LUMPUR – Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada Ahad, bersamaan 2 Mac 2025.
Pengumuman dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Menurut Syed Danial, tarikh permulaan puasa di seluruh negara ditetapkan pada hari tersebut menurut perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Proses melihat anak bulan Ramadan pada petang hari ini melibatkan 29 lokasi di seluruh negara antaranya di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka; Menara Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. -MalaysiaGazette