Umat Islam perlu berhenti boikot KK Mart – Mufti Perak

IPOH – Tindakan memboikot kedai serbaneka KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) dalam kalangan Umat Islam perlu dihentikan segera kerana ia tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam.

Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh berkata, prinsip keadilan sejagat mempunyai kedudukan yang suci dalam Islam di mana keadilan wajib ditegakkan terhadap semua kaum sama ada disukai atau tidak.

Menurut beliau, mengikut kaedah kehakiman Islam, satu daripada rukun penting dalam perlakuan jenayah ialah niat dan keinginan melakukannya atau alqasdul jinael.

Katanya, elemen itu tidak boleh dibuktikan melalui pembuktian langsung sebaliknya dengan pengakuan atau melalui kaedah pembuktian qarainul ahwal iaitu bukti keadaan.

“Daripada penjelasan yang dibuat oleh pihak pengurusan KK Mart dan permohonan maaf secara terbuka terhadap insiden yang berlaku serta penjelasan yang dibuat kepada JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), ternyata kewujudan rukun alqasdul jinaein ini tidak dapat dibuktikan.

“Dengan demikian, berasaskan kaedah kehakiman Islam, tuduhan menghina agama Islam terhadap pengurusan KK Mart tidak terbukti dan saya berkeyakinan pernyataan ini adalah amanah yang wajib disampaikan sebagaimana yang diperintahkan dalam surah An-Nisaa ayat 58.

“Apabila isu ini disensasikan dengan menyemarakkan sentimen kebencian dan kemarahan, maka penanganannya telah tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam sejagat,” katanya dalam satu sidang media di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Negeri Perak pada Jumaat.

Mengulas lanjut Wan Zahidi berkata, tindakan memboikot terhadap sesuatu kaum tidak selari dengan sunnah Rasulullah S.A.W. berdasarkan kisah Baginda meminta Ketua Qabilah Yamamah Thumamah bin Uthal supaya menghentikan sekatan bahan makanan kepada kaum Quraisy yang bermusuhan terhadap Islam.

Jelas beliau, kisah tersebut mencerminkan keluhuran akhlak Baginda yang tidak membenarkan bahan makanan sebagai hak asasi paling utama dalam kehidupan manusia digunakan sebagai senjata dalam pertikaian.

“Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW menyatakan bahawa sebarang penganiayaan terhadap warga bukan muslim akan berhadapan dengan pendakwaan oleh Baginda sendiri di akhirat kelak, malah menganggap tindakan sedemikian seperti ditujukan kepada Baginda sendiri,” katanya.

Sementara itu, Wan Zahidi berkata, Rasulullah SAW memperingatkan para pendakwah supaya sentiasa menyebarluaskan perkara-perkara yang mencerminkan harapan dan tidak membangkitkan isu-isu yang boleh membawa kepada kerengganan

Jelasnya, dakwah Islamiah memerlukan suasana tenang dan damai serta hubungan yang harmoni antara kaum-kaum yang menganut pelbagai agama.

Menurutnya, al-Quran memberi panduan kepada umat Islam agar menggunakan pendekatan berhikmah dan tutur kata yang baik dalam misi dakwah mereka seperti yang dinyatakan dalam surah An Nahl, ayat 125.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Susulan itu, pada 16 Mac, pengurusan KK Super Mart dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Kira-kira dua minggu selepas itu  Pengasas Kumpulan syarikat itu, Datuk Seri Dr KK Chai dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Kesemua mereka masing-masing berdepan satu pertuduhan melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah ALLAH, dua minggu lalu. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Isu KK Mart: Teguran Allah untuk umat Islam perkasa BMF – NGO

Pengasas KK Mart, isteri mengaku tak bersalah tuduhan hina Islam

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI