GERIK – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus memperkukuh usaha melahirkan graduan perakaunan yang holistik dan beretika menerusi penganjuran program ‘Accountants Back to Nature@UMK-TRaCe‘ di Pulau Banding di sini, baru-baru ini.
Seramai 59 orang pelajar Tahun Tiga Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (SAA) dari Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) menyertai program selama tiga hari yang mendapat kerjasama Pulau Banding Foundation (PBF) serta sokongan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK.
Pengarah Program Accountants Back to Nature @ UMK-TRaCe, Najmuddin Mohd Johari berkata, inisiatif ini memberi pendedahan sebenar kepada pelajar mengenai peranan akauntan dalam menyokong kelestarian operasi, tadbir urus dan penciptaan nilai jangka panjang.
Menurutnya, ia turut mencerminkan keupayaan pelajar UMK dalam merancang dan melaksanakan program berskala besar secara profesional.
“Antara pengisian utama program membabitkan komuniti Orang Asli di Kampung Klewang, melibatkan aktiviti sukan dan sukaneka, pemberian sumbangan barangan keperluan asas serta pelaksanaan Program Klinik Kebersihan Mulut bagi meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
“Program ini turut disertai staf Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), memperkukuh kerjasama antara universiti, agensi dan komuniti setempat.
“Pelajar juga didedahkan kepada alam semula jadi melalui aktiviti pengenalan biodiversiti hutan dan eko-sukan seperti menaiki rakit buluh selari dengan tema program yang menekankan keseimbangan antara profesion, masyarakat dan alam sekitar,“ katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai penutup pelajar yang menyertai UMK-TRaCe ESG Case Study Challenge, menguji keupayaan analisis dan pemikiran strategik pelajar dalam mencadangkan penambahbaikan dari sudut kelestarian dan operasi.
Tambahnya, program ini turut menampilkan sesi perkongsian industri oleh Audit Partner Al Jafree Salihin Kuzaimi PLT, Muhd Fahim Aripin, yang berkongsi keperluan dan realiti profesion akauntan masa hadapan.
“Secara keseluruhan, program ini mencerminkan komitmen UMK dalam membentuk akauntan masa hadapan yang bukan sahaja kompeten secara teknikal, malah peka terhadap tanggungjawab sosial, alam sekitar dan pembangunan mampan negara,“ ujarnya. – MG Perak
Majlis penutup disempurnakan Pengarah UMK-TRaCe, Dr Muhd Firdaus Abdul Karim, wakil PTNP, serta wakil PBF dan program ini turut mendapat sokongan organisasi profesional dan industri termasuk ACCA Malaysia, WA Trillion Tax Services, MNZ Waja PLT, Nazim & Co dan Sunway TES. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PBF, IPT berkolaborasi jalani penyelidikan biodiversiti di Royal Belum


