UMNO akan lebih cepat bangkit jika putuskan hubungan dengan DAP

KUALA LUMPUR – Kebangkitan semula UMNO sebagai parti tertua orang Melayu akan lebih cepat berlaku sekiranya parti itu segera memutuskan hubungan dengan DAP.

Bekas pemimpin DAP, Dr. P. Ramasamy berkata, semakin ramai ahli-ahli UMNO akan menyertai Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya parti itu terus bekerjasama dengan DAP.

Jelas beliau, UMNO juga tidak akan dapat mengembalikan pengaruh dan kekuatannya sebagai parti tertua orang Melayu selagi dilemahkan dengan hubungan yang aneh bersama DAP itu serta dengan kepimpinan sedia ada.

“Menyertai gabungan yang diketuai Pakatan Harapan (PH) mungkin memberi keuntungan kepada pemimpin utama UMNO, tetapi bagi ahli-ahli biasa, kerjasama dengan DAP bukan sesuatu yang boleh diterima, sama ada demi kepentingan politik atau untuk mendapatkan kuasa,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Ramasamy yang juga Presiden Interim Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) berkata, selain kerjasama dengan DAP, UMNO juga tidak dapat dijenamakan semula tanpa pembersihan pemimpinnya yang disifatkan mempunyai perjanjian yang licik.

Malah, katanya, sehingga ke hari ini, tidak ada penjelasan bagaimana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi boleh dibebaskan dan dilepaskan dengan 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Jelas beliau, memutuskan hubungan dengan DAP barangkali tidak menjadi isu, tetapi bagaimana untuk menjenamakan semula UMNO mungkin boleh menjadi cabaran utama kepada parti itu.

Tambahnya, UMNO memerlukan pembaharuan besar-besaran termasuk menyingkirkan pemimpin-pemimpinnya yang sudah lama bertapak di dalam parti.

“Pembaharuan di dalam UMNO juga bermaksud memutuskan kerjasama dengan DAP yang sering memperlihatkan mereka seolah-olah parti pelbagai kaum.

“Sedangkan, DAP mahu menggantikan MCA sebagai satu-satunya parti yang mewakili kaum Cina tanpa mengakui mereka adalah parti kaum Cina,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI