KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan tidak menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu diputuskan selepas beberapa siri perbincangan dan rundingan melibatkan pimpinan UMNO di peringkat negeri dan pusat.
Menurutnya, UMNO telah meneliti semua aspek serta maklumat berkaitan termasuk hasil perbincangan tiga pihak (tripartite discussion) sebelum membuat keputusan tersebut.
“Kami telah menyampaikan keputusan kepada Jawatankuasa Biro Politik UMNO Sabah bahawa tidak akan ada kerjasama dengan GRS,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat tertutup bersama pimpinan UMNO Sabah di bangunan UMNO negeri, di Kota Kinabalu malam tadi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menegaskan, UMNO dan BN akan kekal bersama Pakatan Harapan (PH) dalam gabungan sedia ada di peringkat Persekutuan.
“UMNO dan BN kekal menyokong kerajaan perpaduan bersama PH dan rakan-rakan gabungan lain,” ujarnya.
Sebelum ini, kerjasama antara UMNO, BN dan GRS sering menjadi persoalan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.
PRN Sabah adalah medan penting untuk rakyat Sabah menilai siapa sebenarnya yang memperjuangkan hak dan masa depan negeri itu.
Kerjasama antara PH, BN dan GRS perlu dilihat secara objektif dalam konteks membina kestabilan, namun rakyat Sabah tidak seharusnya dipengaruhi oleh agenda yang cuba memecah-belahkan perpaduan mereka. – MalaysiaGazette