LENGGONG – UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, sebaliknya merupakan ‘payung besar’ yang telah sekian lama menjadi pelindung dan pembela kepada orang Melayu di negara ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selaku anggota dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO sentiasa berada di barisan hadapan dalam memastikan kepentingan orang Melayu dan Islam terus terpelihara.
Menurut beliau, sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan, dasar-dasar yang menyentuh pembangunan Melayu dan Islam sentiasa diberi perhatian serta ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Sebagai contoh, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM1.1 bilion untuk pembangunan bumiputera dan RM150 juta bagi memperkasa institusi tahfiz di seluruh negara.
“Pimpinan UMNO yang menjadi sebahagian daripada kerajaan ketika ini, tidak pernah putus menghamparkan langkah-langkah penambahbaikan untuk memartabatkan Islam dan orang Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong di sini, pada Sabtu.
Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, UMNO bukan sahaja mempertahankan kepentingan Melayu-Islam secara dasar, bahkan terus berperanan sebagai perisai ketika maruah bangsa dicabar.
“UMNO bukan sekadar parti politik tetapi kita adalah payung sebenar yang telah lama melindungi, memperjuang dan mengangkat martabat orang Melayu dan juga orang Islam.
“UMNO adalah parti yang menjadi benteng ketika maruah bangsa tercabar, dan UMNO jugalah yang kekal berdiri ketika yang lain mula menghilang,” ujarnya lagi.
Mengulas inisiatif negeri pula, Saarani berkata, Kerajaan Perak di bawah pimpinan beliau telah meningkatkan peruntukan tahunan bagi pengurusan masjid dan surau daripada RM10 juta kepada RM15 juta sebagaimana yang diumumkan dalam Belanjawan Negeri Perak 2025.
Selain itu kata beliau, sebanyak RM10 juta turut diperuntukkan untuk bantuan khas pendidikan Islam yang melibatkan sekolah agama, sekolah pondok dan institusi tahfiz di seluruh negeri.
“Sesuatu yang tidak pernah ada sebelum ini termasuk mengukuhkan institusi sekolah agama, sekolah pondok dan tahfiz di seluruh Perak.
“Selain itu, peruntukan untuk badan berkuasa agama Islam termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Mahkamah Syariah tidak berlaku berkurang malah ditambah dan diperkasakan pada saban tahun,” jelanya lagi.
Justeru Saarani berkata, UMNO merupakan sebuah parti yang matang, berprinsip serta tahu meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan kabilah politik.
“UMNO tidak akan biar Melayu diheret ke jalan perpecahan dan tidak akan biar negara ini dipandu oleh mereka yang hanya memanipulasi pemikiran rakyat.
“Ia semata-mata (hanya) mahu mengejar darjat serta kuasa seperti yang sedang mereka lakukan pada waktu yang sama (pada perhimpunan) di Kuala Lumpur sekarang (hari ini),” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Hentikan ‘Politik Sate’, fokus kepada perpaduan UMNO – Asyraf Wajdi