IPOH – UMNO Perak akur dengan ketetapan perhimpunan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu Titah Adendum pada Isnin depan tidak diteruskan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan itu diambil selari dengan pendirian parti yang teguh mendukung kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu serta menjunjung kedaulatan dan keluhuran undang-undang.
Katanya, justeru pihaknya menaruh keyakinan terhadap kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan rayuan terhadap kes yang dihadapi Najib supaya pemimpin yang banyak berjasa kepada negara itu mendapat keadilan sewajarnya.
“UMNO Perak menjunjung kasih atas titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif Baginda memberi pengampunan, menangguhkan hukuman, dan meringankan hukuman bagi kesalahan seperti yang digariskan di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Sehubungan itu, UMNO Negeri menyokong pendirian Ibu Pejabat UMNO agar semua tindakan berkaitan kes Najib diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah, sejajar dengan titah Tuanku yang menganjurkan penghormatan kepada proses perundangan negara,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Malam tadi media melaporkan UMNO membuat keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan solidariti kepada Najib di Putrajaya, Isnin depan bagi menghormati titah terbaharu Seri Paduka.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan keadilan penuh terhadap bekas presiden parti itu.
Terdahulu ini media melaporkan, penganjuran Solidariti 4 Najib Razak yang akan diadakan di Istana Kehakiman Putrajaya oleh ahli UMNO sebagai tanda sokongan dan setia kawan terhadap Najib kerana jasa beliau selama ini.
Susulan itu, Istana Negara menerusi kenyataan mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang ditetapkan, termasuk kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengampunan kepada mana-mana banduan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: