UMNO Perak gesa isu stoking tertera kalimah Allah diselesaikan segera

IPOH – UMNO Perak menzahirkan kekhuatiran sekiranya isu penjualan stoking bertulis kalimah Allah lewat diambil tindakan sehingga mampu mencetuskan perbalahan antara kaum.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia ekoran reaksi umat Islam terhadap isu berkenaan yang boleh melarat jika tiada tindakan yang tuntas.

“Kalimah ALLAH merupakan kalimah yang tertinggi bagi umat Islam, sama ada disengajakan atau tidak, UMNO Perak menuntut tindakan sekeras-kerasnya diambil.

“Sesungguhnya, kejadian ini merupakan satu penghinaan kepada kesucian agama Islam yang merupakan agama Persekutuan yang dianuti oleh orang-orang Melayu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata, UMNO Perak turut menyokong sepenuhnya kempen yang diadakan Pemuda UMNO untuk memboikot perniagaan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) sebagai tanda bantahan dan solidariti umat Islam dalam isu ini.

Ujar beliau, pendirian ini penting dalam memberi pengajaran dan amaran keras kepada semua pihak bahawa kesucian agama Islam tidak sama sekali boleh diperkotak-katikkan.

“Walaubagaimanapun, UMNO Perak juga mengingatkan agar setiap dari ahli UMNO kekal menjaga adab dan akhlak sebagai umat Islam yang bertindak berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

“Ini penting untuk terus menjaga kesucian Islam yang merupakan sebahagian dari ikrar perjuangan UMNO pertahankan selama ini,” katanya.

Saarani turut memaklumkan UMNO Perak menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

“UMNO Perak senada dalam hal ini, dan mendesak agar polemik ini perlu dihentikan segera dengan mengenakan tindakan yang keras kepada pihak yang bersalah.

“Ia sebagai memberi pengajaran yang berguna buat semua rakyat Malaysia supaya lebih peka dan berwaspada dalam isu sensitif terutama melibatkan agama,” katanya. -MG Perak

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Sabtu lalu, KK Super Mart dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya pengguna tidak memboikot perniagaan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Isu kalimah Allah: Tunku Ismail gesa pihak berkuasa ambil tindakan tegas

Pemuda UMNO Perak gesa Tony Pua disiasat sentuh 3R

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI