UMNO Perak kecam hantaran Bee Yin, sifatkan tidak sensitif

IPOH – UMNO Perak mengecam kenyataan yang dimuat naik oleh Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin menerusi akaun media sosial beliau yang secara terbuka meraikan keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kenyataan Ahli Parlimen Puchong itu bukan sahaja tidak sensitif, malah memperlihatkan kegagalan pemimpin itu memahami realiti politik dan emosi masyarakat, lebih-lebih lagi melibatkan seorang bekas pemimpin yang banyak berjasa kepada negara.

Katanya, meskipun semua pihak wajar menjunjung prinsip demokrasi dan menjunjung kedaulatan undang-undang, namun ia bukan alasan untuk mana-mana individu termasuk ahli politik bersikap biadab dengan mengejek meraikan penderitaan orang lain.

“Ketika rakyat mengharapkan kerajaan ini menjadi payung kestabilan dan ketenangan politik, kenyataan pemimpin tersebut hanya memercik api permusuhan sekali gus mengundang prasangka yang mampu menggoncang keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.

“Mesti ditegaskan bahawa politik bukan medan untuk menzahirkan dendam atau meraikan kejatuhan pihak lain.

“Sebaliknya ia adalah wadah menjunjung tanggungjawab, empati dan kebijaksanaan, bukannya mencipta naratif yang menyimbah minyak ke atas api yang masih membara,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, sensitiviti politik bukan perkara yang patut diremehkan, malah kenyataan-kenyataan provokatif seperti itu hanya akan mencederakan usaha membina kestabilan politik.

Kata beliau, ia juga akan mengguris perasaan sebahagian besar rakyat yang percaya dan menghargai jasa pemimpin, serta merosakkan kepercayaan awam terhadap kematangan dan adab pemimpin politik.

“UMNO Perak tegas dengan pendirian bahawa perbezaan pandangan politik tidak pernah menghalalkan sikap tidak berperikemanusiaan, dan menolak sekeras-kerasnya budaya politik yang menjadikan penderitaan orang lain sebagai bahan ejekan atau modal politik murahan,” katanya lagi.

Terdahulu, Bee Yin memuat naik satu hantaran yang dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum, yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Hantaran Bee Yin: UMNO beri isyarat nilai semula kerjasama Kerajaan Perpaduan – Asyraf Wajdi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI