KUALA LUMPUR – MCA tidak boleh menyalahkan Barisan Nasional (BN) atas keraguan dan rasa kecewa ahli-ahli parti itu berhubung kedudukan mereka dalam gabungan politik tersebut.
Sebaliknya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, pemimpin MCA perlu bertanya diri sendiri mengapa sokongan kaum Cina terhadap parti itu merosot termasuk hanya menang dua kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Jelas beliau, prestasi buruk MCA itu tiada kaitan dengan BN yang bertanding solo pada PRU-15 dan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan hanya berlaku selepas pilihan raya umum tersebut.
“Dakwaan Ketua Pemuda MCA Johor Heng Zhou Li lagi dangkal.
“Dia kata kerjasama BN-PH menjejaskan masa depan UMNO.
“UMNO terjejas teruk bila BN kalah di PRU 14. Tetapi UMNO tidak salahkan BN,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Bagaimanapun, menurut Mohd Puad, UMNO bangkit semula selepas PRU-15 dan dibuktikan menerusi kemenangan di tiga pilihan raya kecil (PRK) iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri; Mahkota dan Ayer Kuning.
“Sebab itu MCA perlu tabah. MCA jangan merajuk sampai menarik diri di PRN 2023 (Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang),” katanya.
Sementara itu, Mohd Puad turut berpandangan MCA sepatutnya fokus kepada peranan dan jawatan dipegang pemimpin mereka di Johor, Melaka, Perak dan Pahang dan membuktikan parti tersebut cemerlang untuk menarik semula sokongan rakyat.
Dalam masa sama, tegas beliau, UMNO akan terus mempertahankan BN dan parti MCA, MIC dan friends of BN tetap rakan setia UMNO.
“Kerjasama BN-PH adalah untuk kelangsungan rakyat dan kerajaan yang stabil.
“BN mesti membuktikan ia mendengar nasihat Raja-Raja Melayu, komited dan kekal sederhana. Itulah hala tuju yang jelas,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dilaporkan meluahkan kekecewaan yang semakin dirasai oleh ramai ahli MCA dan penyokong akar umbi berikutan ketidaktentuan hala tuju politik dalam BN serta dalam Kerajaan Perpaduan hari ini. – MalaysiaGazette