IPOH – Seramai 250 murid sekolah rendah terdiri daripada anak yatim dan kurang berkemampuan (B40) dari Parlimen Tambun menerima manfaat menerusi program Back to School 2026 sebagai persiapan menjelang pembukaan sesi persekolahan esok.
Bantuan tersebut meliputi keperluan asas seperti pakaian seragam, kasut, beg sekolah dan barangan yang berkaitan.
Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata, bantuan itu disampaikan bagi meringankan beban ibu bapa serta memberi semangat kepada anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan.
“Kami gembira melihat keceriaan yang terpancar di wajah anak-anak ini yang akan bersekolah dengan pakaian baharu esok.
“Justeru, marilah kita bersama-sama mendoakan agar anak-anak ini berjaya dalam bidang pendidikan dan menjadi modal insan yang berilmu untuk nusa,” katanya di Dewan Sungai Tapah di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Mazlan Abd Rahman dan Naib Ketua UMNO Bahagian Tambun, Zakaria Mohamed.
Sehubungan itu, beliau berharap bantuan yang diberikan dapat meneruskan impian anak-anak tersebut untuk bersekolah tanpa perlu bimbang dengan beban kewangan keluarga.
“Ini sahaja kemampuan kami, jika ada rezeki kami akan buat lagi,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Agihan Bantuan Awal Persekolahan dijangka selesai hujung minggu ini


