KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berharap keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung perhimpunan aman menjadi titik tolak kepada semua pihak berkuasa dan institusi kerajaan untuk terus menghormati, melindungi dan memudah cara pelaksanaan hak asasi rakyat.
Sehubungan itu, kata Ahli Parlimen Setiawangsa berkenaan, beliau memandang positif kenyataan awal Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk melaksanakan pindaan terhadap Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman serta membawa cadangan pindaan kepada peruntukan undang-undang yang terkesan dalam sidang Parlimen akan datang.
Tambah beliau, ia juga menjadi peringatan penting bahawa undang-undang yang menindas suara rakyat harus dikaji semula dan dipinda agar sejajar dengan semangat reformasi dan prinsip hak asasi manusia.
“Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua yang teguh memperjuangkan kebebasan berhimpun iaitu para peguam, aktivis, organisasi masyarakat sivil, dan wira-wira tidak didendang yang tidak pernah lelah menuntut keadilan.
“Kepada saudara Amir (Hadi), tahniah atas kemenangan ini. Ia adalah kemenangan anda, dan juga kemenangan untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Kes ini membuktikan kepentingan institusi kehakiman yang bebas, dan ia tidak boleh diambil mudah sebagai salah tunjang negara demokrasi berParlimen seperti Malaysia,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Beliau merujuk kepada Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, yang memutuskan peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA), yang mengenakan denda terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan kepada polis, adalah tidak berperlembagaan.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu berkata, Seksyen 9(5) APA itu adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10(2)(b) dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan (kesamarataan di sisi undang-undang).
Sementara itu, Nik Nazmi yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu juga bukan sahaja selaras dengan semangat Perlembagaan yang menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman, malah memperkukuh asas negara demokrasi yang sentiasa ditegakkan oleh rakyat Malaysia.
Malah, beliau turut mengimbas ketika pernah didakwa di bawah APA susulan penglibatan dalam penganjuran Himpunan Black 505, namun dilepas dan dibebaskan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 9(5) tidak berperlembagaan.
“Namun saya didakwa berkali-kali dan naik turun mahkamah. Akhirnya saya telah menang saman ke atas Kerajaan Malaysia dan Peguam Negara ketika itu, (Tan Sri) Abdul Gani Patail dan menerima ganti rugi RM230,000.
“Hanya kini— lebih sedekad kemudian — ketidakadilan itu akhirnya ditebus melalui penghakiman tertinggi negara,” katanya. – MalaysiaGazette