UniKL RCMP berpotensi jadi hospital pengajar di Perak -TPM

IPOH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan keyakinan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Royal College of Medicine Perak (RCMP), bakal menjadi hospital pengajar di negeri ini.

Menurut Ahmad Zahid, sehingga kini, UniKL RCMP terus mengekalkan mutu pengajaran, kurikulum bertaraf antarabangsa serta kekuatan tenaga akademiknya.

Beliau berkata, hasilnya, seramai 10,950 graduan telah berjaya dilahirkan yang berbakti kepada tanah air dan dalam masa yang sama turut mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Melihat kepada perkembangan pesat UniKL RCMP ini, patik penuh yakin bahawa pada suatu hari nanti, akan berdirilah sebuah Teaching Hospital yang menjadi mercu tanda baharu ilmu dan bakti.

“Bukan sahaja untuk memperkukuh pengajaran dan pembelajaran, malah juga
sebagai limpahan rahmat kepada masyarakat, mengurangkan kesesakan hospital, serta memberi sumbangan besar kepada kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan Majlis Sambutan Jubli Perak RCMP di sini, pada Khamis.

Pada majlis berkenaan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin berkenan berangkat merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak institut berkenaan.

Mengiringi keberangkatan baginda, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Turut hadir ke majlis, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; serta Pengerusi UniKL RCMP, Datuk Dr Afifi al-Akiti.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Royal College of Medicine Perak (RCMP), Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 OGOS 2025.

Menurut Ahmad Zahid, penubuhan UniKL RCMP merupakan cetusan ilham Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah lebih 25 tahun lalu.

Katanya, pada 2004, institusi tersebut sekali lagi diangkat martabatnya dengan pengurniaan taraf Diraja, yang menjadikannya simbol keilmuan berprestij di bumi Perak Darul Ridzuan dan Malaysia.

“Bangunan UniKL RCMP yang telah dirasmikan pada tahun 2007 pula, meskipun sudah menjangkau usia 18 tahun, tetap teguh berdiri dengan megah.

“Ia mercu tanda keprihatinan institusi Diraja Perak terhadap kepentingan
pendidikan, yang sentiasa dianggap sebagai nadi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, Kerajaan akan mempertimbangkan penambahan kuota 250 pelajar bagi pengambilan Kursus Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) di UniKL RCMP.

Beliau turut meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengadakan perbincangan mengenai cadangan berkenaan.

“Justeru, bagi menyokong hasrat Kerajaan meningkatkan bilangan doktor serta memperkukuh barisan hadapan sektor kesihatan, patik menaruh harapan agar pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dapat mempertimbangkan tambahan kuota sekurang-kurangnya 250 orang pelajar lagi bagi pengambilan kursus MBBS di sini.

“Tambahan pula Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Kesihatan ada di sini. Kolaborasi dua menteri ini atas saksi baginda tuanku patik yakin ia dapat direalisasikan.

“Patik berharap kedua-dua (kementerian) dapat membantu UniKL RCMP memperolehi tambahan 250 kuota tersebut,” katanya.

Ditubuhkan atas perkenan dan ilham Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 18 Februari 1999, Kolej Diraja menjadi lambang kejayaan sebuah institusi pendidikan MARA bertaraf Diraja yang terus relevan dalam bidang perubatan dan sains kesihatan. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI