UPSI bakal laksana pendigitalan Mashaf Nurly Shahirah

TANJUNG MALIM – Naskhah al-Quran tahriri milik Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman bukti ketekunannya yang penuh kesungguhan menyalin ayat-ayat suci al-Quran sepanjang tempoh pengajiannya di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Besut dari Tingkatan Satu hingga Lima.

Justeru itu, Al-Quran tulisan tangan milik Allahyarhamah Nurly Shahirah itu diserahkan sementara kepada Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertujuan memberi ruang kepada pihak perpustakaan melaksanakan proses pendigitalan terhadap naskhah asal tersebut.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, proses pendigitalan itu bertujuan memastikan naskhah berkenaan dapat dipelihara dengan rapi untuk jangka masa panjang.

“Ia juga bertujuan menghasilkan salinan digital yang lengkap dan berkualiti tinggi bagi dijadikan koleksi rujukan serta sumber kajian di perpustakaan.

“Pendigitalan ini juga memberi ruang kepada masyarakat umum, pelajar serta penyelidik untuk mengakses dan merujuk naskhah tersebut tanpa menjejaskan keaslian manuskrip asal,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Pustakawan, Noriha Muhammad berkata, usaha ini disempurnakan sepenuhnya oleh kakitangan daripada UPSI Digital Library (UDL) yang bertanggungjawab dalam penyediaan imej digital resolusi tinggi, agar setiap helaian al-Quran tulisan tangan ini dapat direkodkan dengan tepat dan jelas.

Pengunjung mengambil peluang melihat Quran hasil tangan Nurly Shahirah. Foto, Ihsan UPSI.

Menurut Noriha, proses pendigitalan Mashaf al-Quran Nurly dilaksanakan dengan beberapa tujuan utama iaitu memastikan naskhah tulisan tangan ini dapat dipelihara dengan baik untuk jangka masa panjang, sekaligus mengurangkan risiko kerosakan akibat faktor usia, persekitaran atau penggunaan berulang.

“Usaha ini secara tidak langsung menyokong pemeliharaan warisan intelektual dan kerohanian umat Islam, di samping menjadi amal jariah berterusan buat Allahyarhamah Nurly Shahirah,” katanya.

Bagi memberi peluang kepada warga kampus dan masyarakat umum mengenali lebih dekat khazanah berharga ini, Mashaf al-Quran Nurly Shahirah dipamerkan secara eksklusif di Aras 1, Perpustakaan Tuanku Bainun, bermula 25 Ogos hingga 2 September 2025.

Noriha berkata, pameran ini membuka ruang kepada orang ramai yang sebelum ini mempunyai kekangan untuk melihat naskhah tersebut di Besut, Terengganu, agar dapat menelusuri sendiri hasil usaha seorang anak muda yang gigih menulis keseluruhan mushaf al-Quran beliau.

“Pameran ini bukan sahaja bertujuan menonjolkan keindahan seni tulisan tangan al-Quran, malah juga sebagai penghargaan terhadap ketabahan dan ketekunan Allahyarhamah Nurly Shahirah.

“Kita juga berharap ia dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mencintai al-Quran serta menjadikannya sebagai sumber motivasi dalam pengajian dan kehidupan seharian, ” katanya.

Allahyarham Nurly Shahirah antara 15 pelajar UPSI yang terkorban selepas bas dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di kilometer 53, Jalan Raya Timur Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik Perak, 9 Jun lalu. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tahlil Perdana Untuk Mangsa Insiden Bas Pelajar UPSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI