TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Industri Sukan – Teras Tadbir Urus di bawah Pelan Industri Sukan Negara (PISN).
UPSI dalam satu kenyataan pengiktirafan yang diterima daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu turut mengukir sejarah buat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berkenaan.
Katanya, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) UPSI dilantik sebagai pusat kecemerlangan industri sukan berkenaan bagi memacu pelaksanaan agenda tadbir urus dan pembangunan sektor sukan secara strategik dan berimpak tinggi.
Dekan FSSK, Profesor Madya Dr Jaffry Zakaria dalam kenyataan sama berkata, pengiktirafan itu membuktikan bahawa UPSI memiliki kepakaran akademik dan penyelidikan yang diiktiraf di peringkat nasional dalam bidang sains sukan dan pengurusan sukan.
“Pelantikan ini adalah satu pengiktirafan besar terhadap usaha berterusan UPSI dalam memperkukuh amalan tadbir urus sukan yang profesional serta memupuk budaya integriti dalam pengurusan sukan tanah air.
“FSSK akan menumpukan kepada pembangunan modul latihan, penyelidikan dasar, dan penilaian amalan terbaik tadbir urus sukan yang dapat dimanfaatkan oleh pelbagai agensi serta organisasi sukan negara.
“Kita mahu memastikan UPSI bukan sahaja menjadi peneraju dalam bidang pendidikan sukan, tetapi juga menjadi pusat rujukan nasional bagi polisi dan strategi tadbir urus yang mampan dalam industri sukan,” katanya.
Menurut beliau, kolaborasi strategik bersama KBS serta rakan industri akan terus diperkukuh bagi memastikan hasil penyelidikan dan inovasi UPSI dapat diterjemahkan kepada amalan yang memberi impak langsung kepada pembangunan sukan di Malaysia.
“UPSI kekal komited menerajui pembangunan industri sukan melalui tadbir urus yang berkesan dan kolaborasi strategik bersama KBS serta rakan industri bagi memperkukuh kemajuan sukan Malaysia,” katanya.
Watikah pengiktirafan berkenaan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersilan) FSSK UPSI, Dr Nurul Fadhilah Abdullah sempena perasmian ASEAN Sports Industry Expo 2025 di Setia City Convention Centre, Jumaat lalu. -MG Perak