TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) komited untuk membantu memperkasakan sistem pendidikan dan melatih pendidik Uzbekistan.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, UPSI sentiasa bersedia untuk menjadi peneraju dalam membina jaringan pendidikan global, khususnya melibatkan negara-negara Asia Tengah.
Menurutnya, program latihan profesional itu adalah manifestasi kesungguhan universiti tersebut dalam mendukung agenda pendidikan antarabangsa.
Tambahnya, ini secara tidak langsung memperkukuh kapasiti pendidik dari luar negara menerusi pendekatan latihan berstruktur dan praktikal.
“UPSI akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong pembangunan pendidikan serantau dan antarabangsa, bagi meneraju kebitaraan pendidikan di Malaysia dan peneraju kecemerlangan pendidikan global.
“Kerjasama ini juga adalah hasil daripada pertemuan dan perbincangan strategik yang berlangsung dalam Forum Pendidikan Tinggi Malaysia–Uzbekistan pada 4 Februari lalu, di mana UPSI diberi kepercayaan untuk menerajui inisiatif latihan kepakaran dalam bidang pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr Karomidin Gadoev menghargai komitmen UPSI dalam menganjurkan program latihan berimpak tinggi kepada warga pendidik Uzbekistan.
Katanya, program itu memberi tumpuan kepada peningkatan kompetensi pedagogi menerusi pendekatan pengajaran inovatif strategi penilaian berkesan serta penggunaan teknologi digital dalam bilik darjah, seiring keperluan pendidikan global masa kini.
“Saya yakin ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui program ini akan dapat diaplikasikan secara langsung di institusi masing-masing, khususnya dalam meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pengurusan akademik yang lebih sistematik,” ujarnya.
Beliau menyifatkan program itu mencerminkan semangat kerjasama erat antara Malaysia dan Uzbekistan dalam bidang pendidikan tinggi.
“Ia secara tidak langsung membuka ruang strategik untuk pertukaran pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik antara pendidik kedua-dua negara,” jelasnya.
Sehubungan itu, Karomidin berharap hubungan dua hala itu dapat diperkukuh menerusi penganjuran program akademik secara bersama, penyelidikan kolaboratif serta pertukaran tenaga pengajar dan pelajar pada masa akan datang.
Terdahulu, seramai 22 pensyarah dan guru dari Uzbekistan menyertai program latihan profesional intensif anjuran UPSI yang berlangsung selama dua minggu bermula 15 hingga 29 Mei di Ampang, Selangor. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
UPSI terjemah buku pendidikan luar penulis ternama antarabangsa