UPSI, Mardi meterai MoU kukuh jaringan akademik, R&D pertanian

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik bidang pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D)  teknologi pertanian.

UPSI dalam satu kenyataan memaklumkan kerjasama menerusi Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) itu berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang sempena penganjuran program Show Tech 2025 baru-baru ini.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi UPSI, Profesor Dr. Rosmilah Misnan berkata, kerjasama ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh jaringan akademik dan industri yang bakal memberi manfaat besar kepada pelajar dan penyelidik.

“Melalui MoU berkenaan UPSI dan MARDI bersetuju untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran, pembangunan kurikulum serta pelaksanaan latihan industri dan mobiliti pelajar.

“Ia juga bertujuan melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang pertanian pintar serta menyokong usaha negara ke arah pembangunan pertanian mampan berasaskan teknologi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, kerjasama dengan UPSI akan membuka ruang lebih luas bagi memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Katanya lagi, ia juga membuka ruang pengkomersialan teknologi pertanian tempatan serta mampu meningkatkan keberkesanan pemindahan teknologi kepada masyarakat, khususnya para petani dan usahawan tani.

“Kerjasama antara UPSI dan MARDI sedia terjalin sebelum ini apabila pihak MARDI menyumbang teknologi dan rumah tadahan hujan kepada Fakulti Teknikal dan Vokasional, UPSI melalui Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024.

“Dengan termeterainya MoU ini, UPSI dan MARDI menunjukkan komitmen jitu dalam memperkukuh ekosistem pendidikan dan pertanian negara,” katanya.

Kerjasama antara UPSI dan MARDI turut dijangka memberi impak positif kepada pembangunan ilmu, peningkatan produktiviti sektor pertanian serta menyediakan landasan kukuh bagi generasi muda menyumbang kepada kemajuan negara melalui pertanian moden dan lestari. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI